Keadaan roh setelah keluar dari badan

Ustaz Azhar Idrus
- Advertisement -

Oleh USTAZ AZHAR IDRUS

Soalan:

Saya ada dengar seorang ustaz sebut dalam satu ceramah bahawa orang baru meninggal dunia rohnya sama ada orang baik atau orang jahat akan dibawa oleh malaikat dari bumi naik ke langit dan beliau mengatakan ada terdapat dalam hadis.
Mohon ustaz sebutkan hadis berkenaan jika memang ada hadisnya. Terima kasih.

Jawapan:

Memang benar apa yang telah disebut oleh penceramah itu bahawa roh yang baik atau yang jahat akan diambil oleh malaikat dibawa naik ke langit dalam keadaan yang berbeza iaitu roh orang yang baik dalam keadaan wangi dan dibangggakan oleh penduduk di langit manakala roh orang jahat dalam keadaan berbau busuk dan dicela oleh penduduk di langit.

- Advertisement -

Saya rasa sudah memadai sebagai jawapan persoalan tuan saya disertakan di sini hadis berikut:

Telah diriwayatkan daripada Al-Barra’ bin ‘Azib r.a daripada Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ الْمُؤْمِنَ إِذَا كَانَ فِى انْقِطَاعٍ مِنَ الدُّنْيَا وَإِقْبَالٍ مِنَ الآخِرَةِ نَزَلَ إِلَيْهِ مَلاَئِكَةٌ مِنَ السَّمَاءِ بِيضُ الْوُجُوهِ كَأَنَّ وُجُوهَهُمُ الشَّمْسُ مَعَهُمْ كَفَنٌ مِنْ أَكْفَانِ الْجَنَّةِ وَحَنُوطٌ مِنْ حَنُوطِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَجْلِسُوا مِنْهُ مَدَّ الْبَصَرِ ثُمَّ يَجِىءُ مَلَكُ الْمَوْتِ عَلَيْهِ السَّلاَمُ حَتَّى يَجْلِسَ عِنْدَ رَأْسِهِ فَيَقُولُ أَيَّتُهَا النَّفْسُ الطَّيِّبَةُ اخْرُجِى إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ – قَالَ – فَتَخْرُجُ تَسِيلُ كَمَا تَسِيلُ الْقَطْرَةُ مِنْ فِى السِّقَاءِ فَيَأْخُذُهَا فَإِذَا أَخَذَهَا لَمْ يَدَعُوهَا فِى يَدِهِ طَرْفَةَ عَيْنٍ حَتَّى يَأْخُذُوهَا فَيَجْعَلُوهَا فِى ذَلِكَ الْكَفَنِ وَفِى ذَلِكَ الْحَنُوطِ وَيَخْرُجُ مِنْهَا كَأَطْيَبِ نَفْحَةِ مِسْكٍ وُجِدَتْ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ – قَالَ – فَيَصْعَدُونَ بِهَا فَلاَ يَمُرُّونَ – يَعْنِى بِهَا – عَلَى مَلأٍ مِنَ الْمَلاَئِكَةِ إِلاَّ قَالُوا مَا هَذَا الرُّوحُ الطَّيِّبُ فَيَقُولُونَ فُلاَنُ بْنُ فُلاَنٍ بِأَحْسَنِ أَسْمَائِهِ الَّتِى كَانُوا يُسَمُّونَهُ بِهَا فِى الدُّنْيَا

وَإِنَّ الْعَبْدَ الْكَافِرَ وفي رواية وَإِذَا كَانَ الرَّجُلُ السُّوءُ إِذَا كَانَ فِى انْقِطَاعٍ مِنَ الدُّنْيَا وَإِقْبَالٍ مِنَ الآخِرَةِ نَزَلَ إِلَيْهِ مِنَ السَّمَاءِ مَلاَئِكَةٌ سُودُ الْوُجُوهِ مَعَهُمُ الْمُسُوحُ فَيَجْلِسُونَ مِنْهُ مَدَّ الْبَصَرِ ثُمَّ يَجِىءُ مَلَكُ الْمَوْتِ حَتَّى يَجْلِسَ عِنْدَ رَأْسِهِ فَيَقُولُ أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْخَبِيثَةُ اخْرُجِى إِلَى سَخَطٍ مِنَ اللَّهِ وَغَضَبٍ – قَالَ – فَتُفَرَّقُ فِى جَسَدِهِ فَيَنْتَزِعُهَا كَمَا يُنْتَزَعُ السَّفُّودُ مِنَ الصُّوفِ الْمَبْلُولِ فَيَأْخُذُهَا فَإِذَا أَخَذَهَا لَمْ يَدَعُوهَا فِى يَدِهِ طَرْفَةَ عَيْنٍ حَتَّى يَجْعَلُوهَا فِى تِلْكَ الْمُسُوحِ وَيَخْرُجُ مِنْهَا كَأَنْتَنِ رِيحِ جِيفَةٍ وُجِدَتْ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ فَيَصْعَدُونَ بِهَا فَلاَ يَمُرُّونَ بِهَا عَلَى مَلأٍ مِنَ الْمَلاَئِكَةِ إِلاَّ قَالُوا مَا هَذَا الرُّوحُ الْخَبِيثُ فَيَقُولُونَ فُلاَنُ بْنُ فُلاَنٍ بِأَقْبَحِ أَسْمَائِهِ الَّتِى كَانَ يُسَمَّى بِهَا فِى الدُّنْيَا

Ertinya:

“Sesungguhnya hamba yang mukmin itu apabila dia telah hampir terputus daripada dunia (iaitu hampir mati) dan berhadap kepada negeri akhirat nescaya turun kepadanya oleh beberapa malaikat dari langit yang putih segala wajah mereka seolah-olah wajah mereka itu matahari. Ada bersama malaikat-malaikat itu kain kafan daripada kain-kain syurga dan wangian dari wangian-wangian syurga sehingga para malaikat itu duduk sejauh mata memandang dari orang tersebut. Kemudian datang malaikat maut ke atasnya sehingga duduk ia dekat kepalanya lalu berkata: Wahai roh yang baik keluarlah kamu kepada keampunan Allah dan redha-Nya. Maka mengalir rohnya seperti menitis air dari tempat minum. Kemudian diambil rohnya itu dan setelah diambil rohnya itu tiadalah dilepaskan walau sekelip mata jua pun sehingga sekalian malaikat yang turun itu mengambilnya pula dan mereka meletakkannya pada kain kafan daripada syurga itu dan meletakkan wangian ke atasnya sehingga keluarlah dari rohnya itu bau seperti wangian kasturi yang paling wangi di bumi. Kemudian mereka membawa roh itu naik maka tidaklah mereka lalu dengan roh itu akan satu kumpulan dari malaikat melainkan kumpulan malaikat itu akan berkata: Roh siapakah ini sangat harum baunya. Maka malaikat yang membawa rohnya itu menjawab: Inilah roh si fulan bin si fulan dengan sebaik-baik namanya yang mereka namakannya dengannya di dunia.

Dan sungguhnya seorang hamba yang kafir dan pada satu riwayat seorang yang jahat apabila adalah hampir dengan saat meninggal dunianya dan berhadap kepada negeri akhirat nescaya turun dari langit beberapa malaikat yang hitam segala wajah mereka bersama mereka ada sehelai kain yang kasar lalu mereka duduk dari orang jahat itu sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut sehingga duduk ia dekat kepalanya lalu berkata: Wahai roh yang keji keluarlah kamu kepada kemurkaan Allah dan marah-Nya lalu dipecah-pecahkan roh di dalam jasadnya kemudian dicabutnya dengan kasar seperti dicabut akan dawai berduri daripada bulu yang basah. Maka malaikat maut mengambilnya dan apabila dibawanya tidak dibiarkan sekelip mata jua pun pada tangannya hingga mereka membungkusnya di dalam kain kasar itu lalu keluar daripadanya bau yang sangat busuk seperti bau bangkai yang paling busuk di bumi. Kemudian para malaikat membawanya naik maka tiadalah tiap kali melalui sekumpulan malaikat kecuali mereka akan bertanya roh siapakah yang sangat keji itu maka malaikat yang membawanya menjawab: Inilah si fulan bin si fulan dengan nama yang paling buruk yang dinamakannya di dalam dunia.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -