Tutup ‘laluan tikus’ banteras aktiviti penyeludupan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

JELI:
Polis menutup dua ‘laluan tikus’ yang merupakan pintu masuk utama ke Kelantan dari arah utara berhampiran jalan raya Timur Barat.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin berkata, penutupan itu melibatkan laluan Jerek dan Lawang di Batu 10 juga bagi membantu pihaknya membanteras aktiviti penyeludupan.

“Kesemua laluan tikus itu kita telah ditutup dengan menggunakan penghadang konnkrit bagi menghalang penyeludupan memasuki terutama melibatkan barangan terlarang,” katanya kepada pemberita di sini pada semalam.

- Advertisement -

Terdahulu beliau meninjau operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di jalan raya Timur Barat berhampiran Batu 6, Batu Melintang dekat sini.

Ahmad juga berkata, bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran rentas negeri berlaku pemeriksaan ketat sentiasa dilakukan petugas di SJR yang terdiri daripada polis dan tentera.

Selain itu turut dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengekang aktiviti penyeludupan barangan salah.

Bagaimanapun katanya, sepanjang perlaksanaan perintah sekatan penuh bermula 1 hingga 14 Jun lalu berlaku penurunan kenderaan keluar masuk ke Kelantan melalui laluan berkenaan.

Sepanjang tempoh itu juga katanya, hanya 400 sahaja kenderaan dikenal pasti keluar masuk yang hanya melibatkan urusan perdagangan terutamanya membawa bekalan makanan terutama ayam dan ikan.

“Sebarang kesalahan dan perlanggaran peraturan sepanjang perlaksanaan sekatan pergerakan sehingga 30 Jun ini kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar arahan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -