Pusat Vaksin Bergerak bantu penduduk di pedalaman

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA KRAI:
Kedudukan kampung yang terpencil dan jauh dari jalan utama menjadi cabaran utama penduduk di kawasan pedalaman sukar mendaftar dan mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Kuala Krai Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman mengakui situasi itu dialami petugas di jajahan itu bagi membolehkan penduduk menyertai program vaksinasi.

Katanya, ramai penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman memerlukan perhatian serius pihak berwajib.

- Advertisement -

“Ia bagi memastikan semua penduduk dapat menerima suntikan vaksin secepat yang mungkin.

“Jumlah keseluruhan penduduk di jajahan ini yang layak menerima suntikan vaksin seramai 130,000 orang dan 87,600 daripadanya layak menerima vaksin berumur 18 tahun ke atas,” katanya.

Beliau ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (Outreach) Daerah Kuala Krai di Kampung Pasir Kelang dekat sini hari ini.

Turut hadir sama Adun Mengkebang, Muhammad Mat Sulaiman dan petugas barisan hadapan.

Abdul Latiff juga berkata, program turun padang itu menjadi solusi terbaik dalam usaha meningkatkan kelompok imuniti bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19

“Kita akui logistik menjadi faktor utama masyarakat di kawasan pedalamn untuk mereka keluar mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin.

“Pendekatan yang diambil ini cukup baik kerana ia secara tidak langsung memberi kemudahan kepada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman terutamanya mereka yang tidak mempunyai kenderaan,” katanya.

Menurutnya juga seramai 550 penduduk dari Kampung Buyung, Kampung Taku, Kampung Pasir Kelang Lama, Kampung Pasir Kelang Baru dan Ladang Taku menerima suntikan vaksin dos pertama di Masjid Pasir Kelang.

Program itu bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang. Program serupa sebelum ini diadakan di Kampung Bahagia pada 6 Jun lalu. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -