Menjelang Ogos perlu 40 peratus rakyat divaksin

- Advertisement -

MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Kerajaan perlu mewujudkan perancangan tersusun bagi memastikan tiada rakyat yang tidak menerima bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP3.0) sehingga hujung Jun ini.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, langkah itu dilaksanakan supaya kedua-dua pihak tidak mengalami kerugian.

Antara cadangan yang diutarakan memberi bantuan kewangan secara bulanan kepada golongan B40 dan sebahagian M40 yang dikenal pasti terjejas sepanjang tempoh PKP3.0 dilaksanakan.

- Advertisement -

“Antara yang boleh diberikan e-wallet RM100 atau RM200 sebulan kepada golongan terbabit untuk berbelanja.

“Kalau RM100 untuk lapan juta rakyat, kerajaan kena peruntukan kira-kira RM800 juta dan ia juga akan merancakan ekonomi negara.

“Ia perlu dilaksanakan setiap bulan untuk membantu golongan B40 dan sebahagian M40 serta peniaga kecil untuk mendapat pendapatan. Usaha ini boleh disifatkan sebagai serampang dua mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam slot Ruang Bicara bersiaran langsung di Bernama TV, malam tadi.

Dr Anuar Shah berkata, negara boleh beralih kepada fasa ketiga jika berjaya mencapai 40 peratus daripada populasi di Malaysia yang menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 yang dijangka dicapai Ogos depan.

Menurut beliau pada fasa tersebut melibatkan kebenaran semua aktiviti ekonomi termasuk sidang Parlimen dibuka kecuali yang berisiko tinggi bagi jangkitan Covid-19.

“Yang kritikalnya menjelang Ogos ini, sekiranya kita punya program vaksinasi ia dapat mencecah 40 peratus daripada populasi rakyat, maka ia merupakan titik tolak kepada langkah positif ke hadapan.

“Perkembangan itu berlaku di Amerika Syarikat dan China di mana mereka berjaya mengawal krisis kesihatan dan memacu pertumbuhan ekonomi pada tahap yang lebih baik,” kata beliau.

Program vaksinasi yang dilaksanakan di Amerika Syarikat menyebabkan ekonominya berkembang daripada 3.5 peratus kepada 6.4 peratus pada suku pertama tahun 2021. Situasi sama turut berlaku di Jepun dan China.

Kadar pemberian vaksin harian Covid-19 di Malaysia mencatatkan angka tertinggi semalam, berjaya melepasi 200,000 dos buat kali pertama sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -