Penghina agama cetus pergolakan dalam negara

nik zawawi
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Kehidupan harmoni antara rakyat berbilang agama dan kaum akan terus terpelihara jika setiap lapisan rakyat di negara ini mendisiplinkan diri menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, insiden pergaduhan antara lima penghantar makanan Food Panda dan seorang pelanggan yang membabitkan sensitiviti agama di Sungai Way, Petaling Jaya yang kecoh baru-baru ini sudah tentu tidak akan berlaku.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sebagai sebuah negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana Perkara 3 (1), ia antara perkara istimewa yang tidak boleh digugat.

- Advertisement -

Ulasnya, sebagaimana Perkara 11 (4) maka penghinaan ke atas Islam adalah satu perkara yang melampaui batas dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini selain dari tidak menghormati sensitiviti penganut Islam sebagai majoriti penduduk di Malaysia.

Pihaknya juga mengecam tindakan pelanggan berkenaan yang merupakan penganut Kristian dalam insiden pergaduhan dengan penghantar makanan Food Panda yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Melalui video yang tular itu, jelas menunjukkan lelaki Kristian tersebut dengan bongkak telah menghina agama Islam.

“Malah, di hadapan penghantar Food Panda yang merakam ucapan lelaki terbabit dengan mudah mendakwa ‘anak Allah’ dalam keadaan langsung tidak menghormati sensitiviti penghantar Food Panda yang beragama Islam.

“Tercetus pergaduhan tersebut jelas apabila tindakan menghina agama Islam dan tidak menghormati sensitiviti penganut Islam.

“Walaupun secara asasnya insiden ini mesti diselesaikan dengan mengikut lunas perundangan bagi kedua-dua pihak, namun punca kepada insiden ini iaitu penghinaan agama adalah pencetus kepada provokasi pergolakan yang dikecam dengan keras,” katanya.

Tambahnya, terdapat 10 negeri di Malaysia termasuk negeri Selangor iaitu negeri yang merupakan tempat kejadian itu berlaku, sebenarnya mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) khususnya Jadual (Seksyen 9) Bahagian I.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh menegaskan, perkara ini jelas telah memperuntukkan perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam.

Antara lain, kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, firman Allah, hadis, Illahi, wahyu, ibadah dan perkataan lain yang tersenarai dalam Jadual Bahagian I Enakmen tersebut.

“Kehidupan harmoni di negara ini akan terpelihara jika setiap pihak saling menjaga sensitiviti penganut lain serta hidup saling menghormati dengan memahami apa perkara yang dibenarkan serta tidak melampaui batas dalam perkara yang dilarang oleh perundangan.

“DUPP mengharapkan kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan tegas bagi memastikan isu penghinaan agama ini dapat dibendung lebih awal kerana ia merupakan provokasi kepada pergolakan dalam negara dan penyebab kepada tercetusnya hubungan yang tegang antara kaum dan penganut agama yang berbilang dalam negara Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -