Kilang beroperasi semasa PKP 3.0 perlu patuhi SOP

Dato' Azman Nasrudin
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kilang dan industri yang mendapat kelulusan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan syarat-syarat yang telah dipersetujui sewaktu permohonan dibuat.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Kedah, Azman Nashrudin berkata, kegagalan pematuhan operasi serta menyebabkan kejadian wabak, akan diambil tindakan mengikut undang- undang yang telah diwartakan.

- Advertisement -

Berikutan itu katanya, insiden yang membabitkan sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong yang tular di media sosial semalam, diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

“Pemilik kilang itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) dan Jabatan Vetarinar atas keperluan masyarakat (rantaian makanan).

“Kesalahan pengusaha kilang itu tidak mematuhi SOP kerana tidak mengasingkan (pengasingan kendiri/self-quarantine) pekerja yang bergejala dan tidak merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan susulan,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.

Semalam, tular di media sosial video berdurasi 19 minit berkaitan sebuah lori membawa sekumpulan warganegara asing memakai gelang kuarantin (pink) di daerah Kuala Muda.

Berikutan itu, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda telah melakukan tindakan pantas dan lori berkenaan dapat dikesan dan ditahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Azdli Abu Shah, hasil siasatan didapati 48 orang yang berada di dalam kenderaan tersebut positif Covid-19 dan memakai gelang ‘pink’.

“Lori berkenaan dalam perjalanan pulang dari Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda ke asrama pekerja di kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang Bedong,” maklumnya.

Menurut Azdli lagi, pemandu lori tersebut disaman atas kesalahan di bawah Sek 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan lain.

Selain itu, kertas siasatan turut dibuka melibatkan pengurus atau majikan kilang tersebut di bawah Sek 22(b) Akta 342 (Kesalahan am tidak mematuhi apa-apa perintah yang dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa) dan Sek 270 KK (Perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa).

Beliau juga menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular berkaitan kejadian tersebut dan sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Op Covid IPD Kuala Muda di talian 04-4299058.

Sehubungan itu Azman menyerahkan hal tersebut kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kes itu.

“Dari segi pengeluaran produk ayam, ianya tidak menjejaskan sekiranya kilang itu diarahkan ditutup kerana masih banyak syarikat memproses ayam yang masih beroperasi dan mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -