Sekretariat Tabung Bencana Covid PAS ucap terima kasih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekretariat Tabung Bencana Covid PAS mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi yang memberi kelancaran dan kemudahan sepanjang kempen menyumbang kepada tabung itu.

Pengerusinya, Dr Rosni Adam berkata sebaik ia dilancarkan pada 1 Jun lalu, selain menerima pelbagai pertanyaan berkaitan sumbangan ke dana tabung, pihak sekretariat telah juga menerima pelbagai aduan perihal cabaran didepani rakyat dan barisan hadapan sepanjang tempoh itu.

- Advertisement -

“Tentunya sokongan padu rakyat bagi fasa pertama kutipan tabung ini amat bermakna bilamana kesulitan mereka yang memerlukan perhatian dapat dikongsi oleh seluruh warga,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sasaran awal pihak sekretariat telah dapat dicapai tentunya atas sokongan padu seluruh rakyat Malaysia umumnya dan para jentera parti di setiap peringkat khususnya, termasuklah semua 116 orang wakil rakyat PAS, badan-badan perhubungan PAS negeri, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Pendukung PAS.

Beliau juga mengucapkan terima kasih di atas sumbangan rakyat Malaysia termasuk mereka yang berada di luar negara melalui Tabung Bencana Covid bagi fasal pertama yang berjumlah RM423,857.04.

“Bagi pihak PAS yang melaksanakan program Tabung Bencana Covid ini, kami akan terus meletakkan keutamaan rakyat di hadapan bagi memastikan kesejahteraan negara dikecapi setiap rakyat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -