Kedah kuasa baharu pintu masuk pelaburan ke Asia Tenggara

- Advertisement -

ALOR SETAR: Invest Kedah Berhad telah memperincikan pelaburan diterima negeri ini daripada RM43 bilion yang dilaporkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi suku pertama tahun 2021.

Secara tepatnya, sebanyak RM42,980,180,000 atau RM42.98 bilion diterima daripada jumlah keseluruhan pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik (DDI) melibatkan tiga sektor ekonomi.

Turut dibentangkan adalah bandingan pencapaian pelaburan diterima yang diluluskan bagi tahun 2020 berjumlah keseluruhan RM5 bilion dari sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama itu. 

- Advertisement -

Dalam laporan pencapaian tersebut, anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBi) Kedah itu juga memaklumkan sasaran unjuran RM10.52 bilion lagi sedang menanti kelulusan MIDA.

Pencapaian tiga bulan tersebut teramat memberangsangkan bagi sebuah kerajaan baharu di mana peningkatan melonjak 1,028 peratus berbanding setahun pencapaian oleh kerajaan sebelumnya. 

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mengangkat sumpah pada 17 Mei 2020, secara khususnya mula membawa masuk pelaburan pada November 2020 bernilai RM820 juta. 

Seterusnya pada Q1 2021, jumlah FDI diterima adalah RM42,292,680,000 dan DDI pula RM687,500,000 dengan jumlah terbesar adalah daripada sektor perkilangan iaitu sebanyak RM42,388,000,000.

Pelaburan baharu sektor perkilangan modul dan sel solar daripada Risen Solar Technolgy Sdn Bhd paling banyak membawa FDI iaitu berjumlah RM42.23 bilion ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Manakala DDI baharu diterima dari Plasticycle Industri Sdn Bhd (RM6.93 juta) dan Bumimaju Industries Sdn Bhd (RM3.1 juta) di Kulim serta Kiyamas Chemical Sdn Bhd (RM20.1 juta) di Sungai Petani. 

Termasuk CSH Green Resources Sdn Bhd (RM9 juta) di Lunas di mana kilang-kilang tersebut mengeluarkan produk bahan kimia, kecuali SP Mega Minerals Sdn Bhd (RM29.3 juta) di Padang Meha melibatkan produk logam asas. 

Manakala FDI yang melakukan tambahan atau pembesaran operasi pula adalah syarikat Jerman, Munzing Malaysia Sdn Bhd (RM54.95 juta) di Bukit Selambau yang memproses bahan kimia. 

SM Biomed Sdn Bhd (RM1.15 juta) di Sungai Petani juga turut mengeluarkan produk bahan kimia dan Ryco Hydraulics Sdn Bhd (RM1.7 juta) di Kuala Ketil pula memproses produk berasaskan getah. 

Sementara DDI yang menambah adalah Kencana Biotech Sdn Bhd (RM6.68 bilion) di Sungai Korok melibatkan produk makanan dan United Copper Industry Sdn Bhd (RM2 juta) di Gurun untuk industri asas logam. 

Juga dua kilang fabrikasi logam iaitu Laser Compo Sdn Bhd (RM2 juta) di Sungai Petani dan Coraza Systems Malaysia Sdn Bhd (RM14.29 juta) Kulim serta kilang kimia, Silcotech Industry Sdn Bhd (RM4.9 juta) di Sungai Lalang. 

Semua pelaburan baharu dan pelaburan pembesaran atau pertambahan operasi yang diluluskan MIDA bagi sektor perkilangan Q1 2021 ini sahaja telah mewujudkan pekerjaan kepada 3,778 orang lagi. 

FDI baharu yang turut dimuktamadkan pada Khamis lalu adalah daripada Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S) yang membawa sebanyak RM8.5 bilion ke KHTP. 

Syarikat yang merupakan gergasi teknologi tinggi dunia ini turut mempunyai pengeluaran papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu (IC) di India, China dan Korea Selatan selain negaranya sendiri. 

Turut memproses permohonan ke MIDA adalah Menicon Co Ltd untuk membawa FDI dianggarkan RM2 bilion ke KHTP dan KT Express Logistics Sdn Bhd bagi DDI bernilai RM20 juta ke Bukit Kayu Hitam. 

Ketiga-tiga syarikat ini akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk 5,400 orang di mana semua perkembangan ini menjadikan Kedah kuasa baharu dan pintu masuk pelaburan Asia Tenggara.

Jumlah diterima Kedah ini adalah tertinggi dalam negara mengatasi jauh negeri ditangga kedua iaitu Selangor (RM8.6 bilion), Sarawak (RM6.9 bilion), Sabah (RM5 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM4.9 bilion). – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -