PAS Kedah ucap tahniah kejayaan FDI RM42.4b

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kejayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah mencatatkan rekod tertinggi dengan nilai pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM42.4 bilion untuk suku pertama tahun ini amat membanggakan.

Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Ahmad Yahaya berkata, walaupun negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 namun Kedah berjaya menarik pelaburan yang besar malah mengatasi negeri-negeri lain.

Advertisement

“Tahniah kepada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan semua pihak yang bertungkus lumus sehingga menempa kejayaan ini.

“Tentulah dengan pencapaian ini, ekonomi Kedah terbentang luas dan boleh mendorong anak-anak Kedah kembali berbakti di tanah tumpah darah mereka,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Setinggi-tinggi penghargaan juga katanya kepada Kerajaan Pusat meyakini kemampuan Kedah yang berpontensi melonjak selaku hub ekonomi penting terutama di Pantai Barat Semenanjung selain terus mengekalkan keunggulan negeri ini sebagai Jelapang Padi Negara.

“Oleh itu slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ yang menjadi matlamat sejak PAS dan rakan-rakan gabungan sejak menerajui negeri ini dapat direalisasikan sebagaimana yang diinginkan,” ujar Ahli Dewan Negara itu lagi.

Katanya, sewajarlah semua rakyat bersyukur di atas kurniaan dan kejayaan itu.

“Sementara itu dalam masanya sama semua antara kita perlu terus menjunjung perintah amal makruf nahi munkar walaupun ia suatu ujian yang berat untuk dipikul,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 11/6/2021