Keputusan cemerlang SPM 2020, KPM perlu lebih telus

KUALA LUMPUR: Nampaknya, topik mengenai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 yang diumumkan pada Khamis lepas (10 Jun) masih ‘hangat’ dibicarakan oleh banyak pihak.

Umpama ‘rumah sudah siap pahat berbunyi’, persoalan demi persoalan dibangkitkan sehingga ada yang meragui ketelusan Kementerian Pendidikan (KPM) berikutan peningkatan pencapaian keputusan SPM yang menunjukkan Gred Purata Nasional (GPN) adalah terbaik dalam tempoh lima tahun.

Advertisement

GPN 4.80 yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin lebih baik 0.6 berbanding 4.86 tahun 2019.

Ini jelas menggambarkan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lepas langsung tidak menjejaskan sistem pembelajaran di negara ini malah, lebih baik lagi.

Ternyata, penutupan sekolah selama 110 hari pada tahun lepas, selain kaedah pembelajaran dalam talian yang menggantikan kaedah konvensional iaitu secara bersemuka berjaya tanpa sebarang masalah.

Ini juga menunjukkan, segala ‘kekecohan’ tentang isu ketiadaan jaringan internet dan peranti serta kekalutan guru dan pelajar mengadaptasikan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini berjaya diselesaikan dengan baik oleh KPM.

Bagi menambah baik sistem sedia ada, pakar pendidikan berpendapat KPM perlu lebih telus dalam mentafsir keputusan dengan tidak hanya menunjukkan yang baik sahaja.

Pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berkata keputusan yang memberangsangkan ini memberikan gambaran kepada umum bahawa PdPR berjalan lancar dan tiada apa yang perlu diperbaiki lagi.

“Keputusan SPM 2020 jelas menggambarkan pembelajaran murid tidak terjejas ketika pandemik dan KPM berjaya menangani segala cabaran dan masalah yang berpunca daripada pandemik sejak tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

Seperti tidak peka dengan keadaan semasa, KPM sepatutnya perlu lebih bersedia untuk berkongsi impak sebenar pandemik Covid-19 terhadap pembelajaran murid.

Ini kerana sepanjang sesi pembelajaran tahun lepas, terlalu banyak masalah yang timbul dan sehingga kini walaupun guru, pelajar dan ibu bapa semakin menerima kaedah pembelajaran melalui PdPR, namun masih banyak lompang yang perlu diperbaiki.

“Dalam hal ini, KPM wajib kenal pasti kelemahan yang masih perlu ditambah baik bagi memastikan kohort SPM 2021 dapat dibantu semaksimum mungkin.

“Pengumuman keputusan SPM 2020 yang memberangsangkan bukanlah petanda tidak wujud kelemahan, tambahan pula kohort 2021 adalah kohort berbeza dan mungkin memerlukan kaedah pembelajaran yang juga berbeza,” katanya.

Calon SPM 2021 yang akan menduduki peperiksaan pada Mac 2022, berhadapan cabaran berganda kerana sejak dari Tingkatan 4, mereka kurang berpeluang belajar secara bersemuka di sekolah dan situasi itu dijangka berterusan pada tahun ini.

Paling dibimbangi, sekiranya mereka berhadapan dengan kelelahan pandemik atau ‘pandemic fatigue’ yang membuatkan mereka berasa letih, tertekan, bosan dan tidak bersemangat untuk belajar disebabkan terlalu lama terkurung di rumah dan hanya mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Perkara ini antara yang perlu dilihat KPM kerana sekiranya tiada usaha menangani masalah ini dibimbangi akan merosakkan pemikiran, kesihatan dan proses pembelajaran murid, katanya.

Namun menurut Azlin, jika melihat secara positif kepada peningkatan calon yang memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran, membuktikan bahawa pelajar semakin matang menguruskan masa dengan belajar secara kendiri dan tidak hanya bergantung kepada guru serta kaedah PdPR semata-mata.

“Memang ada pelajar yang lebih selesa belajar sendiri dan PdPR meyakinkan mereka bahawa pembelajaran kendiri lebih mudah. Pembelajaran online (secara dalam talian) memberi ruang kepada murid untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat tambahan dan tidak bergantung kepada guru dan silibus yang ditetapkan.

“Situasi ini tidak hanya terhad kepada murid di bandar tetapi juga murid luar bandar,” katanya.

Namun begitu, beberapa aspek dalam PdPR perlu ditambah baik dan wajar dipertingkatkan antaranya kolaborasi dalam kalangan guru dan ibu bapa untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran serta penggunaan peranti.

Beliau yang pernah membuat kajian melibatkan 4,985 guru di seluruh negara tahun lepas mendapati kesediaan guru melaksanakan PdPR secara umumnya adalah tinggi dengan nilai purata pada 3.73 (nilai 1 paling rendah, nilai 5 paling tinggi).

Kajian tersebut turut mendedahkan beberapa aspek yang perlu ditekankan untuk menambah baik pelaksanaan PdPR, antaranya aspek pembangunan profesional guru, kolaborasi dalam kalangan guru dan ibu bapa, serta hal-hal yang berkaitan dengan kepimpinan dan pengurusan pentadbir sekolah.

Justeru, KPM perlu membuat kajian berterusan dengan mencari mekanisme untuk mengenal pasti masalah pentadbiran, guru dan murid serta bantuan yang boleh diberikan mengikut keperluan bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran sedia ada, katanya. – BERNAMA