Syaitan bisukah PAS?

Memoir Ustaz Hassan Shukri 2.0

- Advertisement -

PADA awal tahun 2003, saya mengadakan satu temu ramah dengan Dato’ Mustafa Ali, Naib Presiden PAS di Pejabat Agung PAS di Taman Melewar. Temu ramah saya adalah berkisar sekitar gerakan Dewan Pemuda PAS antara 1975 hingga 1987 yang ketika itu dipimpin oleh beliau.

Tujuan temu ramah ini adalah untuk mengutip data-data bagi menyiapkan tesis sarjana sains politik saya ketika itu. Dato’ Mustafa yang lebih mesra dengan panggilan ‘Cikgu’ atau ‘Cikgu Pa’ itu telah memberikan saya banyak inputterutama mengenai politik PAS zaman dalam BN.

- Advertisement -

Setelah selesai temu ramah ini, saya bertemu dengan Ustaz Hassan Shukri di hadapan rumahnya.

“Kamu dari mana?” Ustaz menyapa saya.

“Jumpa Cikgu Pa. Interview pasal (Dewan) Pemuda PAS. Bulan depan dah nak serah tesis,” saya memaklumkan kepada Ustaz.

“Dia cakap apa?” Ustaz terus mengorek sambil kami duduk berbual di kerusi di hadapan pintu rumah Ustaz. Di kerusi inilah setiap pagi Ustaz membaca al-Quran, sebelum beliau memulakan apa-apa aktiviti luarnya.

“Cikgu Pa sebut pasal Kerajaan BN tahun ’70-an dulu. Tegas juga Pemuda PAS, sampai boleh gaduh-gaduh dengan Dato’ (Mohd) Asri (Haji Muda),” saya mula membuka kisah-kisah yang dicelotehkan oleh Cikgu Pa itu kepada Ustaz.

“Zaman dulu Pemuda PAS memang lantang. Orang mudakan. Kalau lembik-lembik itu bukan Pemuda! Cikgu Pa dulu dengan kerajaan pun dia lawan, dengan Datuk Asri pun dia lawan,” Ustaz mula berceloteh pasal Pemuda PAS zaman 1970-an dahulu.

PAS bangkang kerajaan

“PAS (du)duk dalam kerajaan pun lawan kerajaan juga ke, Ustaz?” saya mula bertanya.

“Masa kita dalam kerajaan dulu, dua-dua pendekatan kita guna. Ada masa kita runding dan kita cadang. Ada masa kita bangkang dan kita lawan. Kita diberi hak untuk bangkang kerajaan, kalau sesuatu perkara itu bercanggah dengan Islam,” terang Ustaz kepada saya.

“Cikgu Pa kata kita pernah bantah pertandingan ratu cantik, betul ke Ustaz?” saya membawa isu semasa interviewtadi kepada perbincangan dengan Ustaz. Cikgu Pa ketika di dalam kerajaan pernah menjadi Setiausaha Parlimen, kemudian dinaikkan sebagai Timbalan Menteri.

“Memang betul. Salah satu isu yang agak mencabar ialah pertandingan ratu cantik inilah. Ia dianjurkan oleh sebuah rumah kebajikan, untuk kutip dana kut. Kerajaan Selangor luluskan. Orang tuduh PAS diam. Sebenarnya, kita walaupun duduk dalam kerajaan, kita tidak berdiam diri. Kita memang bantah. Akhirnya, pertandingan itu dibatalkan.

Menurut Cikgu Pa, pertandingan ratu cantik itu dianjurkan oleh Rumah Amal Cheshire Selangor dalam tahun 1975. Kata Cikgu Pa, PAS telah mendesak para Menteri, Timbalan Menteri dan ketua-ketua jabatan agama untuk menggunakan kedudukan mereka bagi membatalkan pertandingan itu, sehingga akhirnya ia dibatalkan.

“Ada yang lebih berani PAS pernah buat,” kata Ustaz lagi.

“Apa dia Ustaz,” saya mula teruja.

“Selepas Tun (Abdul) Razak (Hussein) meninggal, isu Komunis timbul semula. Selain desas-desus Komunis mensabotaj Tugu Negara dan cuba tubuh parti Islam yang baru, Komunis juga disebut-sebut menyelusup masuk dalam Umno. Masa ini, Amerika baru kalah perang dengan Komunis di Vietnam. Pemimpin atau orang-orang yang berpengaruh dalam Umno dikatakan telah menjadi alat Komunis,” terang Ustaz lagi.

“PAS buat apa Ustaz,?” saya mula mencerap tindakan PAS.

“Kita desak kerajaan supaya bertindak ke atas orang-orang Komunis ni. PAS memang tidak mahu Komunis berpengaruh di negara kita. Kerana mereka bukan sahaja menolak Tuhan, tapi mereka juga menaja keganasan,” kata Uataz lagi.

Bila saya bertanya mengenai tindakan balas kerajaan di atas desakan PAS ini, Ustaz memberitahu bahawa kerajaan telah bertindak menangkap tiga orang tokoh Umno iaitu Abdullah Ahmad (Dollah Kok Lanas – DKL, bekas Setiausaha Politik Tun Razak), Abdul Samad Ismail (Ketua Pengarang NSTP) dan Abdullah Majid (bekas Timbalan Menteri Buruh) di bawah ISA. Kata Ustaz, kes mereka selalu disebut sebagai ‘Tiga Abdul.’

“Pada akhir tahun ’74, berlaku Demonstrasi Baling. Sebab isu harga getah jatuh. (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ketuai pelajar buat bantahan. Besar juga kesannya. Sebab itu, pada ujung tahun’ 74 itu, Anwar ditahan ISA. PAS tidak tengok sahaja hal ini. Awal tahun ’75 itu, PAS telah membuat desakan supaya Anwar selaku Presiden ABIM dibebaskan.

“Jadi, ini bukan kali pertama kita bela Anwar (isu reformasi 1998)?” saya bertanya kepada Ustaz.

“Dulu Anwar ini pemimpin utama ABIM. Timbalan dia Ustaz Fadzil (Mohd Noor). Dia pun pro PAS dulu. Tapi bukan masalah dia orang kita. Memang PAS tak setuju dengan ISA. Bila Anwar kena ISA, kita guna saluran kerajaan untuk desak pembebasan Anwar,” jelas Ustaz pula.

“Tindakan kita yang jenis berunding pula apa, Ustaz?” saya mengalih kepada peranan PAS di meja rundingan.

“Dulu kita lihat, taraf pendidikan orang Melayu mesti ditingkatkan. Kita pernah berunding dengan (Datuk Seri) Dr Mahathir (Mohamed) sebagai Menteri Pelajaran supaya menaikkan taraf ITM (Institut Teknologi Mara) jadi sebuah universiti. Tapi baru sekarang ini (1999), baru Mahathir isytihar ITM jadi universiti (UiTM).

“Kita pun pernah minta kepada Mahathir supaya memberi perhatian kepada masalah pendidikan Islam di sekolah. PAS minta supaya jam belajar agama di sekolah ditambah. PAS juga minta supaya sebuah maktab perguruan untuk latih ustaz-ustaz ditubuhkan, hasilnya Mahathir setuju tubuhkan Maktab Perguruan Islam (MPI – sekarang IPG Pendidikan Islam). MPI tu ditubuh dengan cadangan dan usaha PAS.

“Bila kita nampak keadaan akhlak muda mudi semakin parah, dengan dadah, Pop Yeh Yeh dan macam-macam, PAS jumpa Menteri Undang-undang dan Peguam Negara, minta diadakan undang-undang untuk mengawal moral muda-mudi. PAS pun jumpa Menteri Penerangan juga, minta supaya rancangan-rancangan tv yang tak bermoral ditukar dengan rancangan keagamaan. Mulalah ada azan, doa dan ucapan salam dalam tv dan radio. Dulu takde,” Ustaz menghuraikan lebih lanjut.

“Apa tindakan PAS yang paling berani, Ustaz,” saya terus memancing Ustaz.

“Dulu di Parlimen ada bar, tempat minum arak. Wakil rakyat zaman dulu boleh jadi kaki minum arak kut. Bila kita masuk kerajaan, kita beritahu Tun Razak, PAS tak setuju ada tempat minum arak di Parlimen. Arak benda najis, Allah haramkan. Tun Razak tak boleh tolak desakan PAS, sebab dia tahu arak itu haram. Jadi mahu tak mahu, bar itu pun dihapuskan di Parlimen. Sekarang dah takde arak di Parlimen. Ana rasa, desakan ini yang paling berani PAS buat dan semua Ahli Parlimen Umno tak boleh buat apa, bila Perdana Menteri bersetuju,” Ustaz membuka pula kisah penutupan bar di Parlimen dengan permintaan PAS.

PAS tak membisu

“Maksudnya, ada banyak tindakan yang PAS buat di belakang tabir untuk menghapuskan maksiat ini, Ustaz?” saya cuba mengikat kesimpulan perbualan kami.

“Orang luar yang tak faham, mereka kata PAS ini syaitan bisu. Masuk dalam kerajaan, dapat jawatan, (du)duk bilik ekon, dapat kerusi empuk, terus lupa peranan. Tak berani bantah. Macam-macam fitnah mereka. Kita sebagai pihak minoriti, perlu bijaksana uruskan keadaan. Ada benda kita bantah terbuka, ada benda kita turun naik pejabat Menteri untuk bincang, ada benda kita berbisik dengan Perdana Menteri je. Yang penting, hasrat kita untuk menerapkan Islam berhasil, dan maksiat kita boleh hapuskan.

“Dia orang nak kata PAS syaitan bisu ke, syaitan pekak ke, kita tak kisah. Yang penting kita ada berbuat sesuatu untuk Islam, bila kita ada kuasa, walaupun sikit,” mantap sekali rumusan Ustaz tengahari ini.

Saya bersyukur kerana banyak usaha yang PAS dapat laksanakan ketika berada di dalam kerajaan ketika itu. Mungkin banyak pemerhati politik tidak objektif dalam hal ini, dan mereka melihat secara sempit dari teropong parti masing-masing. Tetapi ramai sarjana yang mengkaji kebangkitan Islam pada 1980-an, mengaitkan kebangkitan ini dengan program Islamisasi yang berlaku di dalam kerajaan pada dekad 1970-an itu. Semoga usaha-usaha mereka diberkati Allah. 

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 3/6/2021

Hubungan baik PAS dan Umno telah membolehkan usaha-usaha menerapkan Islam dilakukan oleh PAS pendekatan bangkangan. PAS membawa suara Islam, bukan membisu terhadap maksiat, tetapi PAS bersuara secara bijaksana.
Cikgu Mustafa Ali ketika menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS merangkap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
Siri-siri demonstrasi pelajar yang dianggap rusuhan oleh media, dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Ketika Anwar di-ISA-kan, PAS bersuara menuntut pembebasan Anwar. PAS tidak membisu!
- Advertisement -