Petunjuk keberkesanan PKP 1.0 dan PKP 2.0

- Advertisement -

SEJAUH manakah keberkesanan PKP 1.0 dan 2.0? Jika kita merujuk kepada graf di atas, kedua-dua PKP telah berjaya mengurangkan kes COVID-19 dengan ketara tetapi apabila kita semua mula leka dan tidak lagi mematuhi SOP sepenuhnya, terutamanya dengan pembukaan lebih banyak aktiviti sosial, maka kes kembali meningkat dengan mendadak.

PKP 1.0 telah berjaya mengurangkan kes COVID-19 tetapi dengan impak yang mendalam kepada ekonomi dan mengakibatkan kehilangan pekerjaan⠀

- Advertisement -

a. PKP 1.0 dianggarkan telah memberi kesan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi negara.

b. Dengan pelaksanaan PKP 1.0 dari 18 Mac hingga 3 Mei 2020, ekonomi negara telah menguncup — Mac 2020: -5.9 peratus; April 2020: -28.8 peratus; Mei 2020: -19.7 peratus.

c. Penguncupan KDNK -17.1 peratus pada suku kedua 2020 adalah penguncupan paling besar dalam sejarah Malaysia dan prestasi paling buruk di rantau ASEAN.

d. PKP 1.0 juga telah mengakibatkan pengangguran meningkat dari 3.2 peratus atau 511,700 penganggur pada Januari 2020 dan mencapai tahap 5.3 peratus atau 826,100 penganggur pada Mei 2020 (pengangguran tertinggi sejak krisis komoditi pada akhir 1980-an).⠀

Jika dibandingkan, PKP 2.0 telah berjaya mengurangkan kes COVID-19 dengan impak negatif yang jauh lebih rendah kepada ekonomi dan pekerjaan. Oleh itu, kita tidak harus kembali kepada pendekatan PKP 1.0 iaitu dengan penutupan ekonomi secara menyeluruh

a. PKP 2.0 yang dilaksanakan antara 13 Januari sehingga 18 Februari 2021, juga telah berjaya mencapai penurunan yang ketara dalam jumlah purata kes baharu COVID-19 harian daripada hampir 3,500 pada bulan Januari kepada kurang daripada 1,500 pada bulan Mac 2021.⠀

b. Walau bagaimanapun, pengurangan kes di bawah PKP 2.0 dicapai dengan impak kerugian yang lebih rendah kepada ekonomi iaitu sebanyak RM300 juta sehari.

c. Pendekatan PKP 2.0 yang lebih bersasar berserta langkah-langkah proaktif Kerajaan telah meletakkan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi dengan suku pertama 2021 mencatatkan penguncupan yang lebih kecil — Januari 2021: -3.5 peratus; Februari 2021: -3.6 peratus dan pertumbuhan positif pada Mac 2021 iaitu pada 6 peratus. Sekiranya, tindakan penutupan ekonomi secara menyeluruh seperti PKP 1.0 diambil, ini akan mengakibatkan negara tergelincir dari landasan pemulihan ekonomi dan menggugat kemungkinan Malaysia mencapai pertumbuhan 6.0-7.5 peratus bagi tahun 2021 seperti yang diunjurkan pelbagai pihak termasuk BNM, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

d. Penguncupan KDNK -0.5 peratus pada suku pertama 2021 adalah satu peningkatan berbanding penguncupan -3.4 peratus pada suku ke-4 2020 dan meletakkan Malaysia pada landasan pemulihan pada tahun 2021, dengan andaian sektor ekonomi utama akan dapat terus beroperasi.

e. PKP 2.0 juga tidak menyebabkan kenaikan pengangguran yang ketara — Disember 2020: 4.8 peratus; Januari 2021: 4.9 peratus; Februari 2021: 4.8 peratus dan semakin pulih pada bulan Mac 2021: 4.7 peratus atau 753,200 yang menganggur.

f. Namun, dianggarkan bahawa dengan penutupan penuh kegiatan ekonomi seperti PKP 1.0, bilangan rakyat yang menganggur dijangka mencecah 1 juta.

g. Di samping itu, penutupan aktiviti ekonomi akan memberi kesan negatif terhadap pendapatan 2.8 juta pekerja sektor informal yang pada masa ini berada dalam keadaan yang mudah terjejas.

Bak kata pepatah, marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Dalam kesungguhan kita mencegah penularan COVID-19, kita tidak seharusnya mengorbankan pertumbuhan ekonomi dan juga nasib golongan rentan. Secara amnya, kedua-dua PKP telah berjaya mengurangkan kes COVID-19 dengan ketara tetapi PKP 2.0 mencapai sasarannya tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan pengajaran dari gelombang pertama COVID-19, tidak ada negara lain di dunia yang menutup sepenuhnya ekonomi mereka dalam menghadapi gelombang kedua dan ketiga COVID-19. Sebaliknya mereka hanya mengetatkan SOP dan menghadkan aktiviti sosial sahaja. Inilah juga pendekatan Malaysia.

Pokoknya, pencegahan COVID-19 kembali kepada kita. Dengan pematuhan SOP yang ketat dan program vaksinasi yang meluas, Insya-Allah kita mampu mengatasinya. Teguh kita, menang bersama.

YB SENATOR DATO’ SRI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Menteri Kewangan Malaysia – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -