Langkah bijak kerajaan laksana PKP

Program Singgah Raya Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai Kelantan santuni frontliners di sekatan jalan raya Telekong. (Foto Fb Polis Kontinjen Kelantan.)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai menyifatkan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai tindakan bijak untuk mengekang penularan Covid-19.

Kata mereka kes harian positif sekarang di Kelantan masih lagi tinggi.

- Advertisement -

Mat Sidi Mustapha, 55 dari Kota Bharu berharap orang ramai di negeri itu supaya sentiasa berhati-hati bukan hanya di bulan Syawal sebaliknya setiap masa.

Mat Sidi Mustapha

“Jadi langkah kerajaan melaksanakan PKP amat wajar bagi mengelak penularan Covid-19 yang semakin mengganas di negara ini.

“Saya menyokong langkah kerajaan melaksanakan PKP sempena Aidilfitri baru-baru ini bagi tahun kedua berturut-turut,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum ini kerajaan melaksanakan PKP di seluruh Kelantan berkuat kuasa bermula 22 April sehingga 29 April. Kemudian disambung pula kepada 7 Jun.

Mat Sidi berkata, langkah itu dikira berkesan bagi mengelak penularan Covid-19.

“Biasanya pada hari raya kita berkumpul ramai-ramai, bersalam-salaman yang memberi peluang pada virus menjangkiti kita. Kita tak nampak dari siapa virus berkenaan dibawa,” ujarnya.

Mohd Roza Muhammad

Mohd Roza Muhammad, 50, turut menyokong kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang merayu rakyat menghadkan sambutan Aidilfitri demi mengelak jangkitan Covid-19 lebih parah.

Katanya Tun berpandangan jauh ke hadapan yang sekaligus menampakkan beliau menyokong langkah kerajaan mengambil keputusan melaksanakan PKP bagi menyekat kemaraan Covid-19.

“Saya bersetuju dengan pandangan Tun, kita mesti berkorban hari ini untuk masa depan yang lebih baik.

“Kalau kita ingkar dengan arahan kerajaan, tahun hadapan tidak mustahil PKP lagi sewaktu Aidilfitri menjelang,” ujarnya.

Siti Nur Shalihah Awang, 24, dari Geting Tumpat pula menyifatkan Covid-19 umpama musuh dalam selimut, menyerang tanpa disedari. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -