Kelantan pinda kelayakan jadi Adun 18 tahun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun kerajaan Kelantan meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berhubung umur calon Adun.

Perkara 30 Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan menurunkan usia calon kelayakan Adun daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Mohd Hushaimi Hussian berkata, langkah yang dibuat kerajaan Kelantan pada 12 Ogos 2020 jelas menggambarkan komitmen tinggi kerajaan negeri.

- Advertisement -

Katanya, pindaan itu memberi kesan kepada 108,823 anak muda di seluruh Kelantan yang layak mendaftar sebagai pengundi untuk tempoh lima tahun bermula pada 2019 hingga 2023.

“Kami menaruh harapan yang tinggi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengambil tindakan sewajarnya dan segera bagi menjayakan pelaksanaan pengundi 18 tahun.

“Selain itu pendaftaran pemilih secara automatik sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)” katanya di sini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan usia pengundi 18 tahun dalam masa terdekat.

Menurutnya, SPR masih meneliti beberapa perkara sebelum dimuktamadkan.

Mohd Hushaimi berkata, Pemuda PAS Kelantan menyokong penuh kenyataan Menteri Parlimen dan Undang-Undang) yang dianggap selari dengan keputusan persidangan Dewan Negeri Kelantan pada 2020.

Kata beliau juga secara umumnya usia 18 tahun sudah dianggap dewasa di sisi undang-undang sebagaimana disebut dalam Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 21).

“Di mana mereka boleh menandatangani kontrak dan dihakimi di mahkamah sebagai orang dewasa. Jika undang-undang mengiktiraf mereka, adakah patut kita menolak hak mereka menjadi pengundi.

“Hasrat tersebut mesti digerakkan bersama proses membina kematangan anak muda dengan pendidikan politik daripada sudut ilmu, nilai akhlak, budaya negara dalam kerangka masyarakat majmuk,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -