PKP: Melepas geram di media sosial bukan caranya

- Advertisement -

SAYA faham dan tahu bahawa ramai daripada kita yang kecewa dengan kes COVID-19 yang masih terus meningkat dan PKP belum berakhir, halangan tidak dapat pulang ke berhari raya di kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri serta aktiviti perniagaan yang tergendala.

Namun, melepaskan nafsu amarah secara membuta tuli di media sosial bukanlah tindakan yang baik bagi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Budaya toksik dan melepaskan geram yang melampaui batas yang di dalam media sosial kebelakangan ini bukanlah gambaran sebenar nilai dan kematangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

- Advertisement -

Saya percaya kita rakyat Malaysia adalah lebih baik daripada ini. Apa yang perlu kita lakukan ialah kembali kepada radar Islam. Bersabarlah dengan setiap ujian yang Allah berikan dengan cara Islam. 

Berakhlak di media sosial dengan akhlak Islam. Antaranya, ‘tabayyun first, bukan tibayyun first’. Kita sedang berperang dengan wabak yang telah melumpuhkan sistem kehidupan manusia yang telah menjadi amalan sejak sekian lama.

Tetapi, menipu semata-mata untuk menyambut Aidilfitri adalah ditegah di dalam Islam. Nyawa boleh melayang kerana penipuan dan apabila kita hilangnya kejujuran. Tiada kebaikan pada sebuah penipuan! Pihak bertanggungjawab juga perlulah menggunakan budi bicara serta empati terbaik dalam menguruskan permohonan rentas negeri. Jangan memberikan kelulusan kepada mereka yang berkepentingan dengan anda. Penipuan dalam menjalankan tugas juga perlu dihentikan!

Pengorbanan dan kesabaran semua rakyat Malaysia terus dituntut untuk kita menang melawan COVID-19. Islam mengajar kita agar meninggalkan penipuan dan membangunkan masyarakat dengan nilai kejujuran.

Marilah kita bersama-sama menggunakan peluang 10 terakhir Ramadan ini untuk bermunajat kepada Allah memohon agar Malaysia terus dilindungi dan ibu bapa serta mereka yang tersayang di kampung halaman diberikan kesejahteraan sentiasa.

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -