Desak diada sidang parlimen sekadar cari laba politik

- Advertisement -

BACHOK: Desakan pelbagai pihak supaya diadakan persidangan Parlimen dengan segera tanpa menghiraukan pandemik Covid dianggap sekadar mengambil peluang sokongan political mileage.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, melihat situasi kini masih tiada keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat, sebaliknya semua pihak perlu memberi fokus bagi menyelesaikan masalah Covid-19.

“Parlimen ini mempunyai fungsi dan tugasnya tersendiri seperti mengadakan undang-undang, pinda undang-undang, meluluskan bajet dan sebagainya.

“Jadi semua itu sering berlaku dan undang-undang juga menetapkan buat masa kini sidang parlimen belum sesuai lagi memandangkan dalam suasana darurat, jadi dari segi keperluan itu tidak ada. Namun kalau suasana dan keadaan mengizinkan tiada masalah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di KHY Agro Farm, di Taman Sri Cempaka, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Pengarah Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria dan Pegawai Pertanian Jajahan Bachok, Nadea Muhamad Nordin.

Sebelum ini terdapat ahli Parlimen termasuk dari Umno mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang.

Bagaimanapun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan Parlimen tidak bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa bagi mengelakkan penularan Covid.

Malah ahli-ahli parlimen boleh mengemukakan apa-apa cadangan melalui jawatankuasa khas yang diwujudkan kerajaan termasuk dianggotai wakil pembangkang. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -