Apa jaminan sidang Parlimen tidak akan cetus huru-hara politik?

- Advertisement -

MINGGU lepas, usai saya mengerjakan solat tarawih, bertalu-talu berita masuk di WhatsApp mengenai surat yang diutus kepada YDPA memohon untuk menamatkan darurat.

Ada yang menuduh bahawa kerajaan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang mahukan Parlimen bersidang.

Ada pula yang bersungguh-sungguh menegakkan hujah bahawa tanpa persidangan Parlimen, darurat akan membawa kepada salah guna kuasa kerana tiadanya proses semak dan imbang.

Saya melihat ketika YDPA menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat, adalah besar bezanya dengan Parlimen perlu bersidang dengan kadar segera.

- Advertisement -

Kita tidak nafikan, peranan Parlimen amat penting dalam sistem dan amalan demokrasi. Namun, kita juga jangan terlupa bahawa, persidangan Parlimen akan melibatkan proses dan birokrasinya yang tersendiri.

Sedikit sebanyak, ini pastinya akan menjejaskan perjalanan agensi kerajaan dalam fokus untuk memerangi Covid-19. Setiap kali persidangan, setiap agensi di bawah kementerian-kementerian perlu bersedia untuk menjawab soalan-soalan dan isu-isu yang dibangkitkan ketika perbahasan walaupun ia melibatkan isu picisan.

Tambahan pula, berdasarkan pengalaman persidangan Parlimen sebelum ini, jelas sekali, ia telah menjadi medan berpolitik individu tertentu, dengan melakukan cubaan demi cubaan untuk menghuru-harakan keadaan.

Belum lagi dikira aksi-aksi tidak matang seperti berbalah perkara-perkara tidak penting dan saling menggelar sesama sendiri.

Kita khuatir, Parlimen bukan sahaja tidak dapat menjalankan fungsinya untuk semak dan imbang, bahkan akan mencetuskan huru-hara politik yang tidak menentu dan tidak perlu.

Jadi, walaupun Parlimen boleh bersidang, kita tidaklah pula dalam keadaan perlu segera bersidang apabila banyak lagi perkara yang lebih utama untuk diuruskan dalam fasa yang genting ini.

Sekalipun ada yang melihat bahawa tidak wajar Parlimen tidak dibenarkan bersidang dalam keadaan premis-premis lain sudah dibuka termasuklah sekolah, perlu diingat bahawa Ahli Parlimen ada peranannya yang tersendiri dalam menjaga kebajikan rakyat.

Cuba bayangkan, jika Parlimen bersidang, saban minggu, ahli-ahli Parlimen dan pegawai-pegawai mereka akan keluar masuk Parlimen dari lokasi yang pelbagai.

Mereka ini akan pulang ke kawasan-kawasan Parlimen mereka pada setiap hujung minggu, dan kembali semula bersidang di Parlimen pada minggu berikutnya. Tidak sedikit risiko yang akan menambah beban kerja petugas barisan hadapan sekiranya wujud jangkitan.

Untuk sahabat-sahabat pembangkang, bersabarlah. Saya juga tidak sabar untuk berbahas dan menjawab isu-isu yang dibangkitkan di Parlimen.

Kita cuma perlu bersabar sekejap sahaja, sementara Kerajaan sedaya upaya meningkatkan peratus pengambilan vaksin, dan menyeimbangkan di antara pematuhan SOP dan kestabilan ekonomi.

Bulan Ogos pun tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Pejam celik, pejam celik, kita akan menyambut Aidilfitri dan tanpa sedar darurat pun akan tamat tidak lama lagi.

Dalam tempoh yang ada ini, saya juga ingin menyeru kepada semua sahabat-sahabat dalam kepimpinan kerajaan agar tidak alpa dengan kuasa, dan amalkan prinsip semak dan imbang yang sepatutnya ada dalam diri seorang individu Muslim.

Individu Muslim yang kuat pegangannya kepada Allah akan mengaplikasikan konsep Iman, Islam dan Ihsan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.

Walaupun buat sementara waktu ini Parlimen tidak bersidang, sebagai seorang individu Muslim yang berperanan di peringkat eksekutif, kita tetap akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Taala.

Marilah kita menunaikan amanah ini dengan jujur dan bersungguh-sungguh. Semoga Allah membantu kita untuk keluar daripada kemelut wabak ini dengan keimanan yang bertambah kepada-Nya, insya-Allah.

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
29 April 2021 – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -