Iklan raya judi: Rakyat memerhati, tegakkan keadilan sebaiknya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hikmah tular dua pengawal keselamatan dipukul, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membongkarkan pelbagai kegiatan haram yang dilakukan pemilik syarikat judi itu.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, hasil daripada ketangkasan PDRM, banyak salah laku berkaitan perlanggaran undang-undang didedahkan, bahkan PDRM juga dilaporkan akan menghantar kertas siasatan dalam tempoh terdekat.

“Bagi isu iklan raya judi, rupa-rupanya para pelakon tersebut dieksploitasikan oleh penerbit video dan hanya dibayar bawah RM200 sahaja.

- Advertisement -

“PDRM berjaya mereman para pelakon, ejen artis, juru kamera dan pengarah video-video berkenaan untuk membantu siasatan.

“Namun, dalang utama penerbitan video tersebut masih sedang diburu.

Justeru itu, beliau menyeru semua rakyat Malaysia mendoakan PDRM supaya berjaya mencari individu tersebut demi menyelamatkan maruah umat Islam dan keharmonian negara.

Beliau turut berharap perkara itu dapat diselesaikan sebaiknya agar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak akibat mempersendakan agama Islam.

Selain itu, beliau juga berharap tindakan tegas diambil terhadap semua pelaku kesalahan-kesalahan itu oleh pihak berkuasa tanpa sebarang insiden melindungi aktiviti-aktiviti jahat itu oleh mana-mana pihak.

“Rakyat sedang memerhati kes-kes ini secara rapat dan penuh perhatian, semoga keadilan dapat ditegakkan sebaiknya. Pihak berkuasa diharap dapat menghapuskan semua kegiatan jahat ini hingga ke akar umbi,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -