Media, kementerian perlu jadi rakan strategik

PUTRAJAYA: Pengamal media perlu menjadi rakan strategik kepada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bagi memastikan setiap polisi dan dasar yang dilaksanakan dapat disampaikan kepada rakyat, kata Menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Hubungan antara pengamal media dan kementerian adalah seperti jambatan bagi membolehkan informasi dihebahkan kepada rakyat. Tugas media memberi penjelasan kepada rakyat adalah penting,” katanya pada majlis berbuka puasa kementeriannya bersama media di sini hari ini.

Advertisement

Untuk rekod,  sebanyak 150 berita mengenai Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dilaporkan media pada bulan lepas.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata peranan rakan strategik juga adalah sebagai penangkis berita palsu yang bersifat serangan.

Sebagai contoh, katanya pihaknya sedang menjalankan Kempen Sawit Anugerah Tuhan yang bertujuan memartabatkan industri sawit selain menangani kempen anti sawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah. – BERNAMA