Iklan raya judi: Biadab, pelaku berdepan tindakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbuatan mempromosi kegiatan judi dalam talian di bulan Ramadan sangat biadab, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, sedangkan orang bukan Islam di Malaysia ramai yang pandai menghormati amalan dan budaya umat Islam.

Katanya, lihat sahaja perkongsian Datuk Lee Chong Wei dan isteri tentang pendidikan adab sopan yang diberikan kepada anak-anaknya.

Namun begitu, ujarnya pasti ada sahaja kelompok yang mahu mengganggu-gugat keharmonian dan perpaduan yang berjaya dikekalkan sejak sekian lama.

- Advertisement -

“Tidak cukup dengan berita pengawal peribadi yang dipukul kerana berpuasa, kita dikejutkan pula dengan penerbitan video iklan raya yang dipercayai mempromosi kegiatan judi dalam talian di bulan Ramadan.

“Perbuatan ini adalah sangat biadap dan tidak akan dibiarkan sama sekali,” tegasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, sekiranya ada pihak-pihak beragama Islam yang terlibat dalam produksi pengiklanan tersebut, tindakan juga boleh diambil di bawah akta atau enakmen negeri-negeri yang berkuatkuasa di bawah kesalahan mendorong atau menggalakkan orang lain melakukan maksiat.

Selain itu, jelasnya mereka juga boleh didakwa di bawah kesalahan menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Saya difahamkan, ada banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah membuat laporan kepada pihak penguatkuasa agama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan juga kepada pihak polis berhubung isu ini,” ujarnya.

Tambahnya, SKMM sudah mengambil tindakan menyekat video tersebut daripada terus tersebar di media sosial.

Pihak polis juga, katanya telah mengambil tindakan untuk menyiasat penerbit dan pelakon video tersebut.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada semua untuk melibatkan diri dalam mengekang perbuatan yang biadap ini dengan turut membuat laporan dan menyalurkan maklumat kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan. 

“Bersama-samalah kita mengambil tanggungjawab dalam memelihara keharmonian yang telah terbina antara orang Islam dan bukan Islam di negara kita selama ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/4/2021

- Advertisement -