Pukul ‘bodyguard’ dan iklan judi raya: Eh, apa hal ni?

Suasana solat sunat tarawih di Masjid Negara. (Foto daripada Fb Masjid Negara Malaysia)

TAK habis-habis kelompok ultra kiasu bermain sentimen mengganggu ketenangan umat Islam beribadah apatah lagi ketika ini awal Ramadan.

Benar sekali umat Melayu Islam di negara ini amat penyabar, tidak seperti di negara lain. Malah kita diajar bertoleransi dengan sebaiknya tanpa mengganggu-gugat soal keharmonian kaum dan agama.

Penulis amat menghormati dan memuji tindakan pantas pihak berkuasa dengan segera menyiasat dan menahan suspek terbabit kes tersebut.

Melalui laporan polis yang dibuat dua mangsa terbabit, mereka mendakwa dipukul kerana berpuasa dan ketika dipukul mereka dihina dengan cemuhan ke atas agama Islam termasuk suspek menyatakan bahawa majikan yang bagi gaji bukan Allah. Ini amat-amat mendukacitakan.

Advertisement

Belum lagi soal mengacu senjata api ke atas mangsa seperti dalam laporan polis yang dibuat mangsa ke atas suspek.

Malah dalam video rakaman terjah NGO Semboyan Fisabilillah yang diketuai Yusof Azmi secara terang dua lagi pengawal yang bekerja di rumah suspek mengakui menyaksikan adegan dua rakan mereka dipukul tanpa belas kasihan.

“Kenapa tuan tengok sahaja, saya faham mungkin tuan ada sebab lain (melindungi diri kerana bekerja) dan saya pasti tuan pun tidak setuju dengan tindakan itu, kami pun tidak salahkan tuan, cuma kami kesal dan marah kerana saudara kami diperlakukan demikian seperti binatang,” telahan Yusof Azmi kepada salah seorang pengawal peribadi yang berada di depan rumah suspek semasa beliau dan kumpulannya datang menyerahkan nota bantahan kepada majikan tersebut.

“Saya tengok pun berkaca mata’ Saya (menangis),” seorang pengawal yang berada di hadapan rumah katanya dia menyaksikan insiden tersebut depan matanya tanpa boleh berbuat apa kerana ada beberapa lagi pengawal yang ada bersama suspek.

Kisah ini amat memberi pengajaran kepada rakyat, apatah lagi dalam keadaan umat Islam berpuasa, diuji kesabaran dengan insiden yang amat menghina saudara seagama malah juga kepada agama Islam itu sendiri.

Tauke ultra kiasu yang hidup mewah hasil yang mungkin boleh diragui kerana semasa tangkapan ada lagi bukti lain kegiatan haram suspek. Ultra kiasu melakukan jenayah seperti itu tanpa belas kasihan malah menghina agama islam tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam.

Dalam satu laporan polis yang dikemukakan oleh dua pengawal peribadi menyatakan, majikan, Chung Cheeyang dikatakan telah mengugut mangsa menggunakan pistol selain memukul, merotan, menampar, menarik rambut dan mempertikaikan mengapa mereka berpuasa di samping menyoal sama ada Allah atau majikan yang membayar gaji mereka.

Dalam satu perkembangan terbaru, PDRM berjaya membongkar aktiviti sindiket perjudian dalam talian, pengubahan wang haram dan along hasil daripada tahanan reman lima suspek terbabit.

Difahamkan, polis merampas 100 jongkong emas seberat 100 kilogram selain 12,500 keping wang kertas AS$100 dengan nilai keseluruhannya mencecah RM28.45 juta.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 324, Seksyen 298, Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Video iklan raya kempen judi

Belum lega panas isu bodyguard dipukul kerana berpuasa, tiba-tiba kita dikejutkan dengan iklan raya yang mempromosi judi apatah lagi semua pelakon yang membawa watak dalam video iklan tersebut adalah mereka yang beragama Islam.

Dalam video itu dipercayai mempromosi syarikat GDBet333.

Amat memalukan, mereka ini sanggup menerima bayaran hasil yang amat bersangkutan dengan judi apatah lagi bersama mempromosikan judi.

Lebih mengecewakan sentimen yang cuba ditetapkan dalam iklan tersebut yang sedikit sebanyak boleh mempengaruhi rakyat yang sedang kesempitan hidup ketika ini berikutan kemelut pandemik Covid-19 yang menjejaskan pendapatan.

Bayangkan jika ada yang terdesak menggunakan wang bantuan daripada kerajaan mahupun wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyertai pertaruhan tersebut semata-mata kerana melihat iklan terbabit.

Judi itu jelas haram, tiada kompromi lagi malah desakan demi desakan dibuat agar aktiviti perjudian ini dihapuskan segera.

Namun ketika Ramadan menjengah, iklan ini bergentayangan hingga amat memualkan apatah lagi ia dilakonkan oleh anak Melayu.

Provokasi ini amat melampau. Seharusnya pihak berkuasa sama ada pihak berkuasa agama atau sebagainya juga melihat aspek penggunaan kata menghina agama ini sebagai satu yang harus dipandang serius.

Malah Iklan sebegini harus dipandang serius oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk disiasat dan diambil tindakan oleh pihak mereka demi menjaga keharmonian kaum dan kemaslahatan lebih besar.

Provokasi yang menjadi-jadi apatah lagi dengan sikap toleransi yang amat tinggi oleh umat Islam. Tindakan segera bagi mengatasi hal begini harus disegerakan.

Kerajaan melalui beberapa angensi terlibat harus duduk semeja membincang isu ini dengan serius. Kita tidak mahu kelompok ultra kiasu mengambil peluang memberi provokasi dan akhirnya nanti kerajaan pula dipersalahkan.

Semua agama dituntut menghormati amalan agama masing-masing sebagaimana yang tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjaga keharmonian dan perpaduan nasional.

Kita semua harus faham dan akur bahawa tiada paksaan kepada mana-mana pihak untuk menghalang amalan agama seseorang individu terutamanya Islam sebagai agama persekutuan, malah ia terjamin kerana ehwal umat Islam diletakkan khas di bawah kuasa KDYMM Yang di-Pertuan Agong selain sultan di peringkat negeri.

Provokasi sebegini hanya akan mencetus keadaan tidak baik kepada keharmonian negara. Ultra kiasu harus diajar dengan undang-undang dan tidak boleh mereka ini terlindung dek wang dan kuasa wang haram yang mereka miliki.

Penulis kagum dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khan yang dilihat amat memerangi jenayah rasuah dan jenayah samseng selain kongsi gelap yang dikatakan didalangi pihak tertentu.

Maka keberanian sebegini harus diteruskan demi melihat keharmonian negara kekal tanpa sebarang provokasi melampau ultra kiasu dan kelompok yang hidup dengan wang haram.

Tindakan pantas PDRM amat dialukan dan dalam kenyataan beberapa pemimpin PAS termasuk Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memuji langkah pantas PDRM menahan suspek.

Semoga insiden begini tidak berulang lagi dan kelompok ‘perosak’ ini menerima hukuman berat atas kesalahan dan jenayah yang dilakukan selain memberi pengajaran kepada semua agar menjaga sensitiviti agama. – HARAKAHDAILY 17/4/2021