Abu Bakar Omar: Anak seni berfikrah PAS dalam kenangan

- Advertisement -

KELIBAT beliau sering kelihatan di sekitar Markas Tarbiah Taman Melewar, Kuala Lumpur terutama pasca reformasi. Allahyarham Abu Bakar Omar bukan orang asing dalam kelompok penyokong PAS, berlabun di warung kopi sambil bertukar pandangan politik dengan penyokong PAS yang lain.

Sejarah anak seni ini begitu berwarna warni, ramai yang mengkaguminya beraksi di layar televisi dengan pelbagai watak, lakonannya yang bersahaja dan kelihatan merakyat. Tidak menghairan kerana anak Kedah ini melalui pelbagai pengalaman meraih rezeki sebelum bergelar pelakon.

- Advertisement -

Dalam dekad 1980-an beliau berniaga ikan dan sayur di pasar, seawal jam empat pagi telah terpacak di pasar borong tapak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekarang untuk memilih ikan dan sayur.

Abu Bakar Omar membintangi filem pertamanya Tsu Feh Sofiah pada tahun 1981 bersama aktor Rahim Razali, seterusnya filem Bila Hati Telah Retak pada tahun 1983, seterusnya dengan puluhan drama dan filem yang meletakkan beliau dalam kelompok anak seni yang piawai.

Saya paling mengingati watak lakonannya dalam filem Fenomena sebagai lelaki separuh baya yang mengharmonikan anak-anak muda yang sedang menggelegak semangat untuk menentang budaya hedonisme yang dibawa oleh genre rock yang sedang menaufan tanah air kita dalam dekad 80-an. Filem dengan tarikan pesona terbesarnya kemunculan kumpulan Search serta Ramona Rahman. Allahyarham dalam dunia realitinya akhirnya bersama dengan parti pak lebai yang banyak terlibat menentang budaya hedonisme, maksiat dan kemungkaran.

Bapa kepada empat orang anak ini juga pernah mendapat pengiktirafannya dalam dunia seni, antaranya, Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Skrin (1997), Pelakon Lelaki Terbaik (1998), Pelakon Lelaki Terbaik Drama (1983) dengan drama Senja Belum Berakhir serta pelbagai anugerah berprestij yang lain dalam bidang seni.

Sosok Abu Bakar Omar juga kadang muncul dalam pelbagai program PAS seperti ceramah umum, perarakan penamaan calon, sembang santai dan lain-lain program.

Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir pada pagi Jumaat bulan Ramadan yang mulia dalam usia 73 tahun. Disemadikan di Tanah Perkuburan Akar Peluru Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah. Wataknya sebagai bapa yang bersuara garau akan terus diingati oleh kita semua, semoga bersemadi aman. – HARAKAHDAILY 17/4/2021

Penulis ialah Pengerusi Lujnah Kesenian Dan Kebudayaan PAS Pusat.

- Advertisement -