Ramadan: Marilah kita menilai kembali matlamat hidup

- Advertisement -

RAMADAN, bulan yang dinantikan seluruh umat Islam di dunia telah kunjung tiba. Bulan yang dijanjikan Allah SWT dengan pelbagai ganjaran dan pahala di samping berpeluang menyucikan rohani serta jasmani bertujuan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang bangsa, kaum dan agama yang telah hidup dengan penuh harmoni dan toleransi sejak negara mencapai kemerdekaan. Walaupun Islam adalah agama rasmi Persekutuan, penganut agama lain bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan prinsip rukun negara.

Keharmonian dan toleransi sesama bangsa, kaum dan agama di samping sikap saling menghormati antara satu sama lain menjadikan Malaysia antara negara yang paling unik di dunia. Disebabkan intipati inilah, Malaysia berjaya mengharungi pelbagai halangan dan cabaran dalam mengekalkan suasana yang penuh harmoni dan sejahtera ini.

- Advertisement -

Usah ada dalam kalangan kita yang cuba merosakkan keharmonian dan toleransi ini dengan mengeji, menghina mahupun mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mana-mana agama, kaum mahupun bangsa. Sikap sebegini haruslah dielakkan, ditegur ataupun dinasihati supaya ianya tidak merebak mahupun melarat dimana ia mampu menghancurkan apa yang kita telah capai dan bina selama ini.

Sikap sebegini haruslah ditolak dan ditegah, sama ada ia datang dari individu, kumpulan masyarakat mahupun dari mana-mana ahli politik sekalipun apatah lagi jika ia mampu membangkitkan sensitiviti serta menimbulkan perasaan tidak senang terhadap mana-mana agama, kaum mahupun bangsa.

Sempena Ramadan yang mulia ini, marilah kita sama-sama menilai kembali matlamat hidup kita baik di dunia mahupun akhirat di samping memperbanyakkan membaca Al Quran dan meningkatkan amal ibadah.

Firman Allah SWT dalam Surah At-Takwir ayat 27:

ِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam”.

Di samping mendapat pahala dan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, membaca Al-Quran mampu menyedarkan umat manusia atas peringatan dan tuntutan Allah SWT terhadap kita sebagai hamba-Nya, apa yang ditegah mahupun dilarang termasuk yang menjadi kewajipan serta mendekatkan diri kita kepada ajaran Islam yang sebenar.

Kembalilah kita kepada ajaran Islam yang sebenar. Islam mencakupi seluruh kehidupan manusia, bukan diambil suku, setengah mahupun separuh sahaja daripadanya. Pada bulan yang mulia ini, tautkan kembali ukhuwah dan persaudaraan, kurangkan musuh dan persengketaan, elakkan muslihat, fitnah dan tipu daya kerana ketika iblis dibelenggu, hanya kita yang bertanggungjawab atas segala perbuatan kita.

Sebelum terlambat, mohonlah keampunan daripada Allah SWT, ahli keluarga, sahabat handai dan rakan taulan jika melakukan kesilapan dan dosa. Ajal maut tidak mengenal pangkat, kedudukan, kekuasaan dan harta benda kerana tidak mustahil, Ramadan ini mungkin menjadi Ramadan terakhir kita.

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa-dosa dan menerima amal ibadah kita pada bulan yang mulia ini.

AWANG HASHIM
5 Ramadan 1442 / 17 April 2021 – HARAKAHDAILY 17/4/2021

- Advertisement -