‘Kematian Abu Bakar sesuatu yang perlu dicemburui’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelakon veteran Abu Bakar Omar yang meninggal dunia hari ini.

Anak jati Kedah itu merupakan pelakon tersohor dan banyak melakonkan watak realiti kehidupan masyarakat di kampung.

“Saya ucapkan takziah kepada seluruh keluarganya dan semoga bersabar di atas ujian ini. Kehilangannya sukar dicari ganti,” katanya di sini.

- Advertisement -

Kata Menteri Besar juga filem dan drama lakonan arwah banyak memberi mesej dan kesan mendalam bagi menyedarkan masyarakat.

“Kematian arwah Abu Bakar sesuatu yang perlu dicemburui kerana dijemput Ilahi pada pagi Jumaat di bulan Ramadan,” ujarnya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Kedah Medical Centre (KMC) pagi tadi. Jenazahnya dibawa balik ke Kampung Bukit Nyamuk, Kuala Nerang.

Malam tadi arwah dibawa keluarganya ke KMC selepas keadaannya didapati tidak bermaya selepas berbuka puasa.

Menurut keluarganya keadaan arwah kelihatan baik sebelum itu. Bagaimanapun beliau menghidap beberapa penyakit antaranya kolesterol dan masalah usus.

Difahamkan jenazah pelakon veteran itu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Akar Peluru, Alor Setar selepas Asar petang ini.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan keampunan oleh Allah SWT,” sambung Sanusi. – HARAKAHDAILY 16/4/2021

- Advertisement -