Iklan raya promosi judi umpama halalkan judi – UMMAH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan syarikat perjudian atas talian, GDBet333 mempromosikan judi melalui iklan Hari Raya umpama menghalalkan perbuatan judi kepada orang Islam.

Apatah lagi dengan menggunakan pelakon orang Islam dan latar belakang suasana Aidil Fitri, kata Presiden Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Menurutnya, video tersebut jelas memberi mesej bahawa syarikat judi itu langsung tidak menghormati sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi umat Islam sedang melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

- Advertisement -

“UMMAH membantah sekeras-kerasnya promosi sebuah syarikat judi yang mempromosikan judi online menggunakan klip video hari raya, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Tindakan syarikat tersebut menggunakan video berlatar belakangkan orang Islam dan suasana hari raya seolah-olah telah menghalalkan perbuatan judi tersebut kepada orang Islam.

“Sedangkan Islam melarang keras ummatnya berjudi dan merupakan satu dosa besar.

“Syarikat judi tersebut langsung tidak menghormati sensitiviti ummat Islam, lebih-lebih lagi ummat Islam sedang melaksanakan ibadah puasa Ramadan al-Mubarak,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikongsi kepada Harakah, hari ini.

Justeru itu, beliau mewakili UMMAH akan membuat laporan polis berkaitan iklan tersebut dan mendesak Kementerian Agama, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengani isu itu.

Hal ini kerana kata Mohd Zai dibimbangi perihal agama digunakan bagi tujuan mempromosikan perkara yang salah.

Malah katanya, tidak mustahil kalimah Allah juga akan digunakan bagi tujuan sedemikian.

Beliau dalam masa sama turut meminta satu tindakan segera daripada pihak yang berkuasa dibuat bagi menghentikan isu tersebut.

Dalam perkembangan terbaru, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan memanggil penerbit dan pelakon-pelakon yang terlibat dalam pembikinan iklan raya itu.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -