Geng Nicky: Polis Johor mahu dakwa pegawai terbabit di mahkamah

Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Polis Johor tidak akan menyerahkan senarai nama pegawai dan anggotanya yang dipercayai bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky, kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, sebaliknya akan mengambil tindakan di bawah Jenayah Terancang.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang itu, dipercayai diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

- Advertisement -

Beliau berkata Polis Johor telah membuktikan sebelum ini menerusi Op Benteng, yang telah berjaya menuduh 24 anggota agensi penguatkuasa di mahkamah di bawah Jenayah Terancang.

“Jadi ini adalah format yang saya akan gunakan dalam sindiket Datuk Seri Nicky. Keutamaan untuk ambil tindakan tatatertib, adalah langkah terakhir sekali. Kami masih lagi mengemaskini kertas siasatan, insya-Allah bila dah lengkap nanti, kita akan tangkap.

“Saya tidak akan serahkan kepada JIPS untuk ambil tindakan, saya nak ambil tindakan bawah Jenayah Terancang. Bagi saya itu yang paling tepat, mudah dan tegas untuk kita ambil tindakan,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dilaporkan berkata pihaknya masih menunggu senarai nama dari polis Johor untuk tindakan susulan ke atas pegawai dan anggota yang didakwa ‘bersekongkol’ dengan Geng Nicky.

Beliau berkata pihaknya tidak dapat mengambil tindakan berikutan tidak tahu siapa pegawai dan anggota yang dipercayai terbabit dengan geng berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Ayob Khan berkata dari Januari lalu sehingga kini, seramai 78 anggota dan pegawai polis telah berdepan tindakan tatatertib termasuk lapan yang telah dibuang kerja.

Bagi tempoh yang sama, sebanyak 30 kertas siasatan turut dibuka membabitkan kesalahan rasuah, dadah, jenayah dan komersial.

“Minggu depan akan ada lagi 12 yang akan dibuang kerja. Tindakan buang kerja melibatkan anggota yang melakukan salah laku, bukanlah satu perkara yang  membanggakan. Keutamaan kita ialah membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan segera,” katanya.

Sepanjang tahun lepas pula, katanya seramai 92 pegawai dan anggota telah berdepan dengan tindakan tatatertib. – BERNAMA 

- Advertisement -