PAS Hulu Langat tekad rampas semula Dusun Tua

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Hulu Langat dianggap langsung tidak terkesan dengan penghijrahan bekas Adun Dusun Tua Razaly Hassan bersama PKR.

Yang Dipertua PAS kawasan berkenaan, Mohamad Jan Sulong berkata, bekas Adun terbabit sudah lama tidak aktif bersama PAS Hulu Langat selepas kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

Katanya aktiviti serta pentadbiran PAS Hulu Langat berjalan seperti biasa tanpa ada sebarang gangguan dengan komitmen semua pimpinan untuk terus bekerja ke arah Penyatuan Ummah.

- Advertisement -

“Kami berusaha merampas semula Parlimen Hulu Langat dan Dun Dusun Tua daripada Pakatan Harapan pada PRU-15,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Semalam Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa bekas pemimpin PAS menyertai PKR termasuk bekas Adun PAS Dusun Tua Razaly Hassan dan bekas Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad.

Mohamad Jan berkata, PAS Hulu Langat menerima keputusan Razaly dengan hati terbuka selaras dengan prinsip demokrasi di negara ini.

Bagaimanapun katanya berdasar Perlembagaan PAS Fasal 15 (1) (c) keahlian beliau terlucut serta-merta dengan pengisytiharannya menyertai PKR.

Menurutnya juga jentera PAS kawasan itu di semua peringkat terus bekerja dan mengeratkan ukhwah dengan kedatangan Ramadan untuk meningkatkan amal ibadah dan terus istiqomah dalam perjuangan Islam. – HARAKAHDAILY 13/4/2021

- Advertisement -