KOTA BHARU: PAS sekali lagi menegaskan belum bersedia menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Amanah Negara (PAN).
Naib Presidennya, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, perbezaan fahaman menjadi punca parti itu tidak boleh menjalin kerjasama dengan PAN.
“Setakat ini kita tidak boleh terima sebab cara dan pendekatan Amanah (Pan) berbeza dengan kita.
“Hari ini, PAS belum menemui titik persamaan dengan Amanah (PAN),” katanya ketika diminta mengulas mengenai kerjasama antara kedua-dua parti pada masa hadapan.
Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Makan Malam dan Dialog Profesional Anak Kelantan (Duke) di Kota Bharu, pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, rundingan antara PAN Kelantan dengan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah disifatkan sebagai pertemuan individu bukan membabitkan parti.
Beliau berkata, PAN berhak melakukan rundingan dengan mana-mana pihak selari dengan konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Bagaimanapun di pihak kita tidak ada masaalah, itu hak mereka dan dia boleh bekerjasama dengan mana-mana parti sekalipun,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/4/2021