Cari kaedah tangani ubah suai ekzos

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

PASIR MAS: Semua agensi diminta mencari kaedah terbaik bagi menangani kesalahan mengubah suai ekzos motosikal kerana ianya mengganggu ketenteraman orang ramai.

- Advertisement -

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau juga meminta Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan melihat kembali kesan masalah ekzos bising kepada masyarakat.

Katanya, bunyi ekzos yang kuat akan mengganggu ketenteraman awam

“Saya menyarankan semua agensi kerajaan yang berkaitan melihat semula kaedah terbaik bagi menangani kesalahan mengubah suai ekzos sehingga bunyi bising.

“Masyarakat menyalahkan Kementerian Pengangkutan berhubung penjualan ekzos yang diubah suai di pasaran, namun perkara itu di luar bidang kuasa kementerian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ekosistem perlu dilihat kembali bagi mengekang gejala itu.

Sambungnya , ada yang mengatakan penjualan ekzos bising patut diharamkan.

“Bagaimanapun ia tidak berada dalam bidang kuasa kita, mungkin membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dan sebagainya,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tren Diesel Multiple Unit (DMU) di Stesen Keretapi Pasir Mas.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri, Datuk Azami Mohd Nor.

Hadir sama, Anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Anggota Parlimen Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan tegas akan diambil kepada pemilik kenderaan yang masih berdegil menggunakan ekzos bising jika mereka tidak mengubah bunyi ekzos selepas mendapat notis temu janji advokasi.

“Tindakan itu bertujuan memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan (ekzos bising) supaya tidak mengulangi kesilapan itu pada masa hadapan.

“Setakat ini, pemilik kenderaan yang masih menggunakan ekzos bising hanya dikenakan pendekatan advokasi iaitu dikeluarkan Notis 114. Pemilik kenderaan hanya perlu menghadiri sesi siasatan yang ditetapkan JPJ.

“Apabila notis terbabit dikenakan, pemilik kenderaan perlu hadir ke JPJ untuk sesi temu siasat.

“Kementerian mengambil serius perkara itu selepas menerima pelbagai aduan dari orang ramai,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/4/2021

- Advertisement -