Cubaan menyucikan imej Firaun

- Advertisement -

BERSEMPENA acara perarakan mumia-mumia Firaun di Mesir baru-baru ini, tidak sedikit warga maya mengkritik acara tersebut yang kelihatan jelas beriya-iya dianjurkan penuh prestij. Namun mutakhir ini muncul suara-suara yang cuba menghilangkan sensitiviti umat Islam terhadap watak jahat tersebut.

Kata mereka ‘apa salahnya, ini warisan sejarah Mesir. Kebanggaan tamadun Mesir, wajarlah dihargai dan dianjurkan sebegitu prestij.’ Tidak kurang lancang komentar mereka yang melabel kumpulan yang mengkritik ini sebagai berminda kolot.

- Advertisement -

Barangkali sebahagian kita terlupa, sekurang-kurangnya 15 peratus isi al-Quran menampilkan kisah umat terdahulu, kisah sejarah. Tujuan penceritaan kisah sejarah dalam al-Quran bukan untuk diarkibkan maklumat umat terdahulu secara romantika, melainkan sebagai panduan buat umat Islam berfikir dan mengambil pelajaran.

Apatah lagi berkenaan mumia Firaun, dinyatakan secara jelas dalam al-Quran akan kronologi sebelum mati hingga jasadnya dikeluarkan dari laut:

 فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ 

“Maka pada hari ini, Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu, dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.”

(Yunus: 92)

Firaun memburu kumpulan Nabi Musa A.S dan Bani Israil. Laut yang terbelah, bercantum kembali. Saat hampir tenggelam, tiba-tiba mengaku beriman sedangkan selama diberi peluang, Firaun kerap membantah dan menyindir Nabi Musa. Agar orang mukmin mengingati kisah dan pelajaran daripada peristiwa tersebut, Allah memerintahkan agar laut mencampakkan jasad Firaun. Tujuannya agar kita menjadi saksi kekuasaan Allah dan menjadi saksi balasan terhadap kebiadaban musuh Allah dan Nabi-Nya.

Rasulullah S.A.W ketika berpeluang melalui daerah Hijr, kawasan kaum Thamud yang dimurkai dan diazab Allah, Baginda tidak menatap daerah tersebut dengan mata bersinar-sinar penuh teruja, akan tetapi Baginda menutup kepala dan menghambat haiwan tunggangannya agar segera berlalu meninggalkan kawasan tersebut. Ibn Umar R.A menceritakan, Rasulullah bersabda ekoran peristiwa tersebut:

لا تدخلوا على هؤلاء القوم المعذبين إلا أن تكونوا باكين فإن لم تكونوا باكين فلا تدخلوا عليهم أن يصيبكم مثل ما أصابهم

“Janganlah kalian masuk ke tempat orang-orang yang diseksa itu kecuali jika kalian dalam keadaan menangis. Jika tidak dapat menangis (kerana mengambil pengajaran), maka janganlah kalian memasukinya, dikhuatiri kalian tertimpa seperti apa yang telah menimpa mereka.”

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

“Al-Hafiz Imam Ibn Hajar R.A juga turut mengutarakan pendapat bahawa hukum perbuatan Nabi S.A.W tersebut turut terpakai pada semua tempat dan kawasan yang ditimpa bala dan azab, tidak hanya kepada kaum Thamud sekalipun Hadis yang disabdakan adalah berkenaan mereka.”

(Fathul Bari 6/380)

Baginda tidak beriya-iya mengumpulkan rombongan Sahabat dan tidak pula menganjurkan upacara khusus walhal lokasi tersebut adalah lokasi bersejarah. Nabi tidak mendidik kita agar menghargai kesan tinggalan umat yang dimurkai dengan sambutan penuh meriah. Justeru jika hari ini kita diberi peluang menyaksikan objek, artifak, atau lokasi sejarah kaum yang ditimpakan azab, kita perlu memberi tumpuan pada pengajaran di sebalik sejarah tersebut. Bukan berbangga kononnya ia merupakan lambang ketamadunan yang unggul, teruja hanya kerana berjaya menemukan tinggalan sejarah berusia ribuan tahun.

Alasan kumpulan yang kelihatan cuba mengangkat tinggalan sejarah Firaun ini kononnya Firaun yang menentang Nabi Musa A.S tidak disertakan dalam perarakan. Walhal fakta dari pihak muzium sendiri membuktikan sebaliknya.

Kata mereka lagi, bukankah Raja ketika era Nabi Yusuf dan Nabi Ibrahim juga berpangkat Firaun, dan mereka menyantuni Nabi-nabi kita tersebut. Lalu mengapa kolot dan jumud sangat menghentam semua Firaun sebagai jahat?

Sedarkah kita, bahasa gelaran yang diajar kepada kita yang dipersepsikan sebagai kolot itu adalah dari pengistilahan al-Quran dan Hadis? Ketika bercerita mengenai Nabi Musa dan raja Mesir pada zaman Baginda, al-Quran memilih kalimah Firaun. Ketika Rasulullah menceritakan tiga sahaja situasi yang pernah Nabi Ibrahim A.S berhelah, Baginda memilih perkataan Jabbar min al-Jababirah (Raja Bengis atau Kuku Besi atau Autokratik).

Ketika al-Quran merakamkan kisah Nabi Yusuf bersama raja Mesir pada zaman Baginda, al-Quran menggunakan istilah al-Malik (Raja).

Mengapa Nabi menggelar Jabbar min Jababirah? Adakah Nabi tidak mengetahui bahawa semua pemerintah Mesir itu semuanya berpangkat dengan gelaran Firaun? Wal ‘iyadzubillah. Mengapa al-Quran gunakan istilah al-Malik jika mereka semua kononnya adalah Firaun atau Pharaoh?

“Berkata Ibn ‘Asyur, Digunakan perkataan al-Malik dalam al-Quran kerana Raja Mesir tersebut bukan dari kalangan Firaun Qibti, tetapi merupakan pemerintah daripada Dinasti Hyksos, diasaskan oleh imigran Badwi dari Kaum Kan’an. Sejarawan Yunani menggelar mereka sebagai Shepherd Kings (Raja Badwi).”

(Al-Tahrir wa al-Tanwir, Ibn ‘Asyur)

Apakah dakwaan Ibn ‘Asyur sah dan selari pandangan sejarawan?

Kenneth Kitchen, seorang sarjana British merumuskan bahawa Nabi Yusuf tiba di bumi Mesir pada era 1674-1553 sebelum Masihi (Second Middle Era).

Menurut Nelson’s Illustrated Bible Dictionary pula, era tersebut Mesir dimasuki ramai imigran luar (non Egyptian).Kemudian kumpulan yang menggelar diri mereka Hyksos menakluk Mesir dan mendirikan kerajaan. Oleh itu tidak pelik Nabi Yusuf yang bukan berasal dari Mesir diberi keistimewaan dalam pemerintahan Hyksos yang bukan diasaskan masyarakat Qibti. Mereka sama-sama merupakan bangsa asing.

Pendapat ini turut dicatat dalam The Interpreter’s Dictionary of The Bible. Oleh kerana Hyksos bukan dari Kerajaan Firaun Qibti, maka istilah al-Malik atau Raja digunakan pada mereka. Adapun Saidina Nabi Musa A.S, Baginda hidup pada kurun ke-13 sebelum Masihi (New Kingdom Era).

“Firaun adalah gelaran yang dirujuk oleh para penulis kontemporari terhadap pemerintah Mesir, asalnya digunakan merujuk kepada empayar Mesir, bukan individu Raja Mesir itu secara peribadi. Hanya kira-kira 1550-1069 SM, ia digunakan sebagai gelaran merujuk pada Raja Mesir secara peribadi atau individu.”

(British Museum Dictionary of Ancient Egypt)

“Kalimah Firaun, bahasa Mesir yang bermaksud Mahligai Agung. Istilah ini asalnya digunakan untuk menyifatkan istana maharaja. Sekitar 1500 SM, ia mula digunakan sebagai gelaran bagi menyifatkan Raja Mesir.”

(Nelson’s Illustrated Bible Dictionary

Kesimpulan

Firaun merupakan gelaran bagi Raja Mesir yang hidup pada zaman Nabi Musa A.S. Raja yang hidup pada zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Yusuf A.S bukanlah seorang Firaun atau Raja yang memakai gelaran Firaun. Dakwaan kononnya Raja-raja Mesir yang menyantuni Nabi Ibrahim dan Nabi Yusuf kononnya merupakan Firaun yang baik ternyata tidak benar apatah lagi layak dibuat hujah memburukkan umat Islam hari ini sebagai berminda kolot. Sengaja atau tidak, perbuatan menyucikan imej Firaun ini harus dihentikan walau didakwa tidak berniat jahat.

“Merujuk Raja-raja Mesir sebelum era New Kingdom dengan gelaran Firaun bercanggah dengan bukti sejarah yang jelas dan ia perlu dijauhi.”

(The Thames & Hudson Dictionary of Ancient Egypt)

Yakin al-Quran menggunakan istilah tepat

Selaku Muslim, kita bersyukur kerana dibekalkan al-Quran sebagai kitab pedoman. Ia kitab yang suci dari apa jua cacat cela dan pertikaian:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

“Maka apakah mereka tidak mentadabbur al-Quran? Kalaulah ia datang dari selain Allah, pasti terdapat banyak percanggahan di dalamnya.”


(an-Nisaa’: 82)

Adapun menarik untuk kita ambil perhatian, kitab yang menggunakan gelaran Firaun untuk merujuk kepada kedua-dua Raja Mesir yang masyhur dalam kalangan umat, yakni yang hidup pada zaman Nabi Yusuf dan Nabi Musa A.S antaranya ialah Old Testament atau Perjanjian Lama yang dirujuk pengikut Kristian dan Yahudi (Judaism):

تِلْكَ مِنْ أَنْبَاءِ الْغَيْبِ نُوحِيهَا إلَيْكَ مَا كُنتَ تَعْلَمُهَا أَنتَ وَلا قَوْمُكَ مِن قَبْلِ هَذَا فَاصْبِرْ إنَّ الْعَاقِبَةَ لِلْمُتَّقِينَ

“Itu adalah di antara berita-berita penting mengenai yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini.”

(Hud: 49)

Termasuk pemberitaan ghaib tersebut ialah kisah sejarah umat terdahulu, Allah wahyukan kepada Rasulullah seolah-olah Baginda saksikan sendiri. Tak mengapa jika kita tidak pandai, asalkan jangan memandai-mandai. Syukur atas nikmat Islam dan Iman.

اللهم قد بلغت. اللهم فاشهد.

SOFIA ALWANI ALI
7 April 2021 – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -