Membeli rumah: Jauh atau dekat?

- Advertisement -

SAYA pernah berhenti untuk mengerjakan solat Asar di sebuah perhentian di tepi sebuah lebuhraya dan sempat berbual dengan seorang penunggang motosikal yang juga berhenti untuk mengerjakan solat. Dia memberitahu saya dia tinggal di Antara Gapi dekat Serendah dan bekerja di Petaling Jaya. Jarak di antara rumah beliau dan tempat kerja beliau adalah hampir 50 km. Ini bermakna beliau terpaksa menunggang motosikal lebih kurang 100 km.

Katanya lagi, beliau boleh membeli rumah di Petaling Jaya tetapi hanya akan mampu membeli pangsapuri kos rendah (low cost flat). Walhal dengan nilai yang sama beliau boleh membeli sebuah rumah teres di Antara Gapi. Beliau lebih rela susah sedikit demi keluarga. Katanya di Antara Gapi keluarganya boleh hidup dengan lebih selesa. Rumahnya lebih luas, terdapat laman untuk anak-anak bermain atau bercucuk tanam dan suasana kejiranan tidak sesak. Dia sanggup berada di atas motosikal dua hingga tiga jam sehari untuk itu.

- Advertisement -

Saya pernah juga berjumpa dengan seorang pekerja bank ketika berhenti solat Maghrib di perhentian rehat dan rawat di Nilai. Dia bekerja di Kuala Lumpur dan tinggal di Nilai. Walaupun telah waktu Maghrib tetapi masih belum lagi tiba di rumah.

Ini adalah di antara dilema yang dihadapi oleh pembeli-pembeli rumah di Malaysia. Mereka terpaksa memilih di antara rumah yang dekat dengan tempat kerja atau yang lebih jauh tetapi mampu dimiliki dan lebih selesa. Tetapi sekiranya negara kita memiliki rangkaian pengangkutan awam yang lengkap dan boleh diharapkan maka jarak di antara tempat tinggal dan tempat kerja tidak akan menimbulkan masalah.

Harga rumah menjadi begitu mahal di Lembah Klang menyebabkan ramai yang memilih untuk membeli rumah di Negeri Sembilan, sempadan Perak atau Pantai Barat Selangor. Pemaju-pemaju juga turut begitu aktif memajukan kawasan-kawasan tersebut. Walau bagaimanapun sebelum sesiapa membeli rumah di situ terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan.

Yang pertama adakah berbaloi perjalanan yang jauh ke tempat kerja? Sama ada dari segi kos atau dari segi masa yang diambil. Bandingkan di antara penjimatan kos membeli rumah di bandar dan kos pengangkutan tambahan. Kos jangka panjang perlu diteliti. Bagaimana pula dengan pengangkutan awam? Adakah terdapat pengangkutan awam seperti komuter? Ini akan dapat mengurangkan perbelanjaan anda.

Yang kedua adalah masa diambil untuk pergi dan balik dari tempat kerja. Penunggang motosikal yang tinggal di Antara Gapi itu boleh menerima realiti berada 3 jam di atas jalan raya setiap hari. Tetapi mungkin tidak semua orang boleh menerimanya? Mungkin ia boleh menjadi 4 jam atau lebih jika berlaku kesesakan akibat kemalangan atau kerja-kerja di jalan raya. Walau bagaimanapun jangan hanya mengambil kira masa di atas jalan raya tetapi masa untuk pulih kerana keletihan setelah perjalanan yang panjang. Masa bersama keluarga yang berkualiti (quality time) adalah penting. Adakah ia akan terjejas?

Berpindah ke tempat yang baharu bukan sahaja bermakna suasana yang baharu tetapi jiran-jiran yang baharu dan kawan-kawan yang baharu. Ia seolah-olah memulakan kehidupan yang baharu. Anda perlu bersedia untuk menghadapi suasana tersebut. Ada yang teruja dengan cabaran ini tetapi ada yang menganggap ia membebankan.

Pemaju selalunya akan menjanjikan langit dan bumi di pembangunan mereka. Perkara-perkara yang dijanjikan seperti kemudahan-kemudahan awam atau rekreasi akan disediakan tetapi bila? Sekiranya ia adalah kompleks sukan anda mungkin boleh bersabar tetapi jika ia adalah sekolah atau tadika bagaimana? Justeru itu pastikan sama ada kemudahan-kemudahan yang dijanjikan telah disediakan atau jika belum bila akan disediakan?

Bandar baharu bukan sesuatu yang asing di negara kita. Banyak yang telah bercambah seperti cendawan selepas hujan. Petaling Jaya adalah bandar baharu yang terawal yang diwujudkan pada tahun-tahun 50-an. Ia wujud kerana penduduk Kuala Lumpur yang semakin meningkat dan memerlukan tempat tinggal. Sebuah lebuhraya iaitu Lebuhraya Persekutuan (Federal Highway) telah juga telah dibina untuk menghubungkan Petaling Jaya dan ibu negara.

Walau bagaimanapun ia mengambil masa beberapa tahun sebelum Petaling Jaya menjadi sebuah penempatan yang matang dan akhirnya menjadi sebuah bandaraya. Penempatan-penempatan baru yang lain juga akan melalui proses tersebut. Ia tidak akan wujud dengan sekelip mata.

Proses perkembangan perbandaran ini merupakan proses biasa di kebanyakan negara. Apabila bandar-bandar menjadi sesak dan apabila nilai hartanah meningkat maka rakyat akan bergerak kawasan-kawasan baru. Walau bagaimanapun kerajaan perlu memiliki satu polisi yang jelas untuk memastikan keseimbangan penduduk.

Kita tidak mahu melihat hanya kelompok masyarakat tertentu yang mampu memiliki rumah di bandar-bandar besar sementara kelompok-kelompok yang lain tersisih keluar. Di antara matlamat Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang dilaksanakan selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969 adalah untuk memastikan sektor-sektor ekonomi tidak dikaitkan dengan kaum-kaum tertentu. Mengambil dari semangat tersebut, kita perlu memastikan tidak terdapat pembangunan-pembangunan yang keseluruhannya hanya mampu dimiliki oleh kaum-kaum tertentu sahaja.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -