Anak muda ditawar lot niaga percuma sempena Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Siapa cepat dia dapat. Itu tawaran kerajaan negeri bagi mengajak anak-anak muda menceburi bidang perniagaan sempena Ramadan ini.

Sebanyak 50 lot perniagaan ditawarkan secara percuma kepada anak-anak muda yang bertempat di tingkat dua dan tiga Bazar Tok Guru.

Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO (U-Bes) Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, lokasi perniagaan itu diistilah sebagai Kota Keriangan sebagai meraikan kedatangan Ramadan.

- Advertisement -

Katanya, lokasi perniagaan itu disediakan di tingkat dua sebanyak 10 lot dan 40 lot lagi di tingkat tiga. Kesemuanya dikhusus bagi perniagaan barangan kering kecuali dua lot barangan basah.

“Program Niaga Anak Muda itu hasil kerjasama U-Bes dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan bagi menggalakkan anak-anak muda terbabit dalam perniagaan.

“Bazar Tok Guru terletak di lokasi strategik di mana menjadi tumpuan orang ramai orang terutamanya pada hujung minggu,” katanya di sini.

Bazar Tok Guru tidak jauh dari pusat bandar Kota Bharu menjadi tumpuan orang ramai kerana menawarkan pelbagai jenis pakaian, kain, barangan kraftangan dan pelbagai produk dari negara jiran.

Bangunan setinggi tiga tingkat itu dilengkapi lif, surau, kafeteria, ruang parkir di bawah tanah dan sekeliling bangunan. Ruang parkir juga memanjang sehingga ke Jalan Mahmood.

Setiap lot dengan keluasan 8 kaki kali 10 kaki ditawarkan percuma bagi tempoh dua bulan sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Kota Keriangan itu dibuka setiap hari bermula 1 Ramadan ini daripada jam 10 pagi hingga 10 malam.

Selain itu kata Nasruddin pihak penganjur juga menyusun aktiviti santai pada sebelah petang termasuk persembahan nasyid, dikir zikir dan pelbagai lagi yang bermula selepas solat Asar.

Turut dicadangkan diadakan ruang khas solat tarawih di kawasan terbabit bagi memudahkan peniaga dan orang ramai solat.

Ditanya mengapa digunakan istilah Kota Keriangan kata beliau ia mengambil kira Ramadan menjanjikan kegembiraan kepada mereka yang berpuasa iaitu saat berbuka puasa dan bertemu Allah Taala di akhirat kelak.

“Jadi kami menawarkan kepada golongan belia yang berminat. Memandangkan tempat yang terhad maka mereka yang mendaftar awal akan diberi keutamaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -