Tengku Zafrul jawab isu hutang negara yang dibangkitkan

- Advertisement -

SAYA terpanggil untuk menjawab isu berkaitan hutang negara kerana ramai pihak yang membangkitkan isu ini. Maka, saya akan menjawab dalam tiga poin ringkas.

(1) Hutang kerajaan masih di bawah had statutori mengikut undang-undang;

Had statutori 60 peratus yang selalu disebut-sebut adalah had statutori untuk instrumen hutang yang diterbitkan kerajaan, iaitu MGS, MGII dan MITB. Ini fakta undang-undang, bukan terjemahan saya seorang.

Jumlah hutang bagi 3 instrumen terbitan kerajaan ini pada akhir Disember 2020 adalah 58 peratus daripada KDNK. Pada akhir Februari 2021, jumlah hutang ini adalah 54 peratus KDNK dan dijangka mencecah 58.5 peratus pada akhir tahun ini.

- Advertisement -

Instrumen hutang lain pula mempunyai had statutori lain iaitu;

(a) RM35 bilion untuk pinjaman luar negeri; dan
(b) RM10 bilion untuk hutang Bil Perbendaharaan Malaysia.

Jumlah hutang kerajaan untuk dua instrumen di atas masih di bawah had statutori. Apabila ada pihak merujuk kepada hutang negara mencecah 62 peratus pada hujung 2020, ia sebenarnya adalah rangkuman semua hutang di atas. Tapi seperti yang saya jelaskan, setiap komponen ada had hutangnya sendiri dan ia tidak pernah melepasi had hutang mengikut undang-undang.

(2) Keutamaan adalah bantu rakyat hadapi cabaran COVID-19;

Dalam keadaan ekonomi biasa, kerajaan perlu menyeimbangkan di antara perbelanjaan untuk rakyat dan kadar hutang negara. Namun, apabila negara berada dalam krisis ekonomi, maka, keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan lebih besar menyebabkan paras hutang juga meningkat.

Ekoran itu, kerajaan telah meletakkan kepentingan untuk membantu rakyat sebagai keutamaan, termasuk dengan menyuntik sejumlah RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa siri pakej stimulus. Ia menaikkan hutang tanpa melepasi had statutori seperti yang telah dijelaskan di atas.

Pada masa yang sama, Kementerian Kewangan akan terus memantau hutang negara bagi memastikan ia terkawal bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan agensi Antarabangsa. Tanpa keyakinan mereka, rakyat akan terkesan dengan pelbagai kesan negatif seperti kurangnya pewujudan pekerjaan dan peluang perniagaan.

(3) Hutang legasi yang buruk

Hutang ini ada hutang yang baik dan hutang yang buruk. Hutang yang baik adalah seperti pinjaman yang kita ambil untuk tampung kos inisiatif bagi membantu rakyat dan menyelamatkan pekerjaan. Pinjaman bagi membangunkan infrastruktur untuk rakyat seperti lebuhraya dan kemudahan awam lain juga adalah contoh hutang yang baik.

Apa pula hutang yang buruk? Hutang yang buruk adalah hutang yang tidak membawa sebarang faedah ekonomi atau manfaat untuk rakyat hari ini. Ada sebahagian hutang yang perlu kerajaan urus hari ini disebabkan bebanan hutang yang buruk tinggalan pentadbiran terdahulu.

Walaupun hutang ini bukan hutang yang dibuat kerajaan hari ini, tetapi ia tetap hutang yang perlu kita uruskan. Kesannya memang besar tetapi kita cuba uruskan. Ini bukan alasan kerajaan untuk tidak berbelanja untuk rakyat. Seperti mana dalam poin 2, Kerajaan tetap utamakan perbelanjaan untuk rakyat melalui Strategi 6R.

Saya harap ini dapat menjawab soalan beberapa pihak. Namun bagi rakyat umumnya, jangan putus harapan. Program vaksinasi hari ini telah memberi harapan bahawa cabaran yang dibawa COVID-19 ada penghujungnya. PEMERKASA, iaitu sebuah inisiatif di bawah Strategi 6R, akan menyediakan rakyat untuk bangkit kembali apabila COVID-19 ini berakhir. Insya-Allah, kita mampu bangkit semula dengan lebih berjaya.

YB SENATOR DATO’ SRI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Menteri Kewangan Malaysia – HARAKAHDAILY 23/3/2021

- Advertisement -