Tunggu, lihat punca tidak ramai daftar suntikan vaksin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat perlu memain peranan menyampaikan mesej kepada rakyat supaya mendaftar segera bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, suntikan vaksin amat penting disampaikan kepada masyarakat bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Tambahnya, rakyat Kelantan tidak perlu tunggu dan lihat, sebaliknya terus mendaftar untuk mendapatkan giliran masing-masing.

“Ini kerana rakyat Kelantan berdasar laporan paling rendah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

- Advertisement -

“Rakyat Kelantan sepatutnya mendapat suntikan vaksin seramai 1.2 juta orang. Jadi saya merayu supaya mendaftar segera,” katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 2.0 di Dewan Jamuan Utama Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Bagaimanapun kata beliau belum memperolehi angka sebenar berhubung jumlah rakyat di negeri itu yang mendaftar sebagai penerima vaksin.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat Kelantn mendaftar melalui My Sejahtera atau terus mendaftar di pusat-pusat kesihatan yang ditetapkan.

“Kita sewajarnya menyahut seruan kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Mana-mana dalam kalangan kita yang belum berbuat demikian hendaklah mendaftar seberapa segera yang mungkin,” ujarnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan sikap kurang mendaftar disebabkan mengamalkan tabiat tunggu dan lihat.

Selain itu mungkin orang ramai tidak sampai maklumat secara jelas mengenai program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketika ditanya pengalamannya kali kedua menerima suntikan vaksin, katanya ia sama seperti dos pertama sebelum ini.

“Alhamdulillah tidak ada rasa apa-apa, sebagaimana sebelum ini juga,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/3/2021

- Advertisement -