Dukung penuh keputusan tutup kedutaan Korea Utara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan mendukung penuh tindakan kerajaan menutup kedutaan Korea Utara di negara ini ekoran tindak balas negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ketua Penerangannya, Badzli Bakar berkata, pihaknya terkilan apabila Korea Utara mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik hanya kerana Malaysia mengekstradisikan seorang rakyatnya, Mun Chol Myong ke Amerika Syrikat atas alasan pelanggaran undang-undang.

Katanya, selama 47 tahun hubungan diplomatik terjalin antara Pyongyang dengan Kuala Lumpur semenjak 1974, seharusnya mereka cukup matang dan memahami kerukunan negara masing-masing.

“Malaysia adalah negara berdaulat dan tidak pernah berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan undang-undang, baik warganegara mahupun bukan warganegara.

- Advertisement -

“Ini jelas tertulis dalam kaedah Fiqh Islamiyah iaitu mengambil mudarat yang paling kecil kesannya, seperti mana keputusan kerajaan untuk menghantar pulang Duta Korea Utara ke negara asalnya disebabkan tiada lagi hubungan dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Korea Utara,” ujarnya.

Beliau yang juga merangkap Ketua Penerangan Perikatan Nasional Negeri Sembilan menyatakan demikian kepada HarakahDaily hari ini apabila ditanya mengenai hubungan diplomasi antara Pyongyang-Kuala Lumpur yang terputus kesan ektradisi rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Badzli ketika ditanya apakah implikasinya terhadap ekonomi negara katanya, Malaysia tidak pernah menerima pelaburan berskala besar dari negara itu.

“Malaysia juga tidak pernah membuat pelaburan besar di Korea Utara atas faktor keselamatan dan ketidakstabilan politik yang dihadapi negara itu.

“Data pelaburan juga menunjukkan tidak terlalu signifikan kerana jumlah dagangan terlalu kecil sekitar RM18.9 juta sahaja pada 2016,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun katanya, berkaitan ancaman yang diberikan negara itu, Malaysia perlu mengambil langkah berhati-hati seperti yang disuarakan Penganalisis Politik, Dr Abdul Muein Abadi.

“Ancaman termasuklah konsistensi kemampuan Korea Utara, kemampuan agensi perisikan, keselamatan, dan ketenteraan negara seperti Cawangan Khas SB PDRM dan Bahagian Siber serta Elektromagnetik Pertahanan ATM.

“Selain itu, kepentingan negara sekutu seperti Five Power Defence Arrangements (FPDA) melibatkan United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura.

“Akhir sekali, faktor kepentingan Amerika Syarikat dan China kepada negara yang akan cuba diancam oleh negara berkenaan”, katanya.

Justeru katanya, gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dibawa PAS boleh diterapkan bagi menghadapi kemelut ini dan diharapkan hubungan diplomasi kedua-dua negara dapat dipulihkan secepat mungkin.

Pada 3 Mac lalu, Mun Chol Myong gagal dalam rayuan di mahkamah untuk mengelak diekstradisi ke AS atas dakwaan melakukan penggubahan wang haram.

Di mahkamah, lelaki itu menafikan dakwaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa dia mengetuai sebuah kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan antarabangsa dengan membekalkan barangan terlarang ke Korea Utara dan mengubah dana haram melalui beberapa syarikat pangkalan hadapan. 

Lelaki itu yang tinggal di Malaysia selama lebih sedekad bersama keluarganya ditahan pada 2019 susulan permohonan ekstradisi dari Washington.

Chol Myong, berumur lingkungan 50-an, menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan konspirasi perbuatan itu.

Pertuduhan berkenaan berkait terutama dengan kerjanya di Singapura. – HARAKAHDAILY 23/3/2021

- Advertisement -