‘Negara ini bukan milik ahli politik’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemilihan pemimpin negara mestilah memenuhi kriteria integriti dan mempunyai moral baik di sisi agama dan perundangan negara bagi memperbaiki suasana politik tanah air.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata mana-mana individu yang terpalit dengan kes salah laku dan mempunyai masalah moral adalah tidak layak diangkat sebagai pemimpin negara.

Hal ini katanya akan memberikan impak negatif pada imej dan urus tadbir yang bakal dikendalikan.

- Advertisement -

“Anak muda menolak sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang mempunyai masalah moral seperti minum arak, kaki perempuan, rasuah dan apa sahaja yang mencalarkan ingeriti sebagai seorang pemimpin.

“Amat memalukan jika masalah sebegini masih lagi mahu menjadi pemimpin bagi negara Malaysia yang memperuntukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, masa hadapan negara dan anak muda tidak boleh ‘diperjudikan’ dengan melantik calon kepimpinan yang mempunyai masalah moral dan integriti.

Katanya, sekalipun negara ini mengamalkan konsep demokrasi namun masih terikat dengan Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan yang memberi signifikan bahawa nilai jati diri sebagai seorang yang mempunyai keperibadian yang baik.

“Rakyat akan mengikut rentak kehidupan pemimpin mereka. Jika rosak seseorang pemimpin tersebut, maka akan rosaklah rakyat yang berada di bawah tanggungjawab pentadbirannya.

“Beringatlah wahai semua pemimpin! Negara ini bukan milik ahli politik. Negara ini amanah atas kalian untuk urus tadbir demi kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, tegasnya anak muda tidak akan teragak-agak menolak mana-mana calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mempunyai rekod buruk pada moral dan isu integriti.

Justeru katanya, demi untuk mengembalikan kesejahteraan negara pemimpin yang dilahirkan mestilah dari kalangan mereka yang berakhlak dan mempunyai kemahiran yang selayaknya. – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -