Kes Iki Putra: Masa untuk bersikap proaktif

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Iki Putra Mubarrak v Kerajaan Negeri Selangor dan Anor kelmarin yang memutuskan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 adalah tidak berperlembagaan.

Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia amnya dan ummat Islam khususnya untuk menerima keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut dan tidak membuat sebarang tindakan yang boleh mencemarkan imej institusi kehakiman Malaysia seterusnya menghormati konsep kedaulatan undang-undang yang menjadi teras Rukun Negara.

- Advertisement -

Pemuda PAS menegaskan sudah tiba masanya untuk ummat Islam berhenti bersikap reaktif terhadap sesuatu keputusan Mahkamah yang dilihat tidak menyebelahi malah memberikan kesan kepada sistem perundangan Syariah tetapi untuk mengambil sikap proaktif bagi mengelakkan isu sebegini berlaku di masa akan datang.

Banyak kajian dan cadangan yang telah dikemukakan oleh pakar-pakar Perlembagaan, ahli-ahli akademik dan para peguam berkaitan isu pengharmonian antara Undang-undang Sivil dengan Undang-undang Syariah bagi mengatasi konflik bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah serta menangani isu berkaitan agama Islam dan perundangan Syariah. 

Namun kajian dan cadangan tersebut hanya menjadi diskusi akademik setiap kali berlakunya konflik perundangan sebegini.

Justeru Pemuda PAS akan mengambil inisiatif untuk mengumpulkan hasil-hasil kajian tersebut seterusnya memastikan kajian dan cadangan tersebut dibawa untuk perhatian dan tindakan pihak yang berwajib sama ada di peringkat Persekutuan atau di peringkat negeri.

Pemuda PAS juga akan merangka satu modul untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat khususnya anak-anak muda berhubung kepentingan moraliti dan pendidikan syariah selaras dengan konsep kesopanan dan kesusilaan yang termaktub di dalam Rukun Negara.

Akhirnya, Pemuda PAS juga ingin menegaskan bahawa penghakiman kes ini telah menjadi signal bahawa Ahli Parlimen Melayu Islam mestilah menguasai 2/3 Parlimen dalam PRU15 yang akan datang agar agenda pemerkasaan Mahkamah Syariah serta Undang-undang Syariah dapat direalisasikan.

Sekian.

YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS MALAYSIA
Ketua Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 27/2/2021

- Advertisement -