K-Pop: Perlu urus fanatik berlebihan

Pengabdian perlakuan dan kehidupan tidak harus menjurus kepada kemurkaan Allah

KITA akan dibangkitkan di akhirat nanti dengan orang-orang yang kita cintai. Untuk anak-anak muda, pegang kata-kata ini elok-elok. Di waktu kita muda remaja, mempunyai idola adalah fitrah. Perasaan suka ini perasaan yang tidak boleh dihalang.

Tetapi jika rasa suka itu sudah melampaui rasa cinta kita kepada Allah dan RasulNya, di situ kita ada masalah. Malang sungguh nasib diri kita, apabila kehidupan harian kita serba-serbi mahu mengikut artis K-Pop.

Advertisement

Daripada gaya rambut, gaya baju, gaya cakap sehinggalah kepada membela perlakuan idola K-Pop yang boleh menjuruskan kita kepada perkara yang dimurkai Allah.

Menghina seseorang individu sudah tentu bersalahan dengan ajaran agama. Fanatik berlebihan sehingga seluruh kehidupan diabdikan kepada minat terhadap K-Pop juga adalah sesuatu yang tidak kena.

Sedang kita kepanasan terbakar, kelemasan berpeluh di Padang Mahsyar, pada waktu itu sedarlah kita bahawa BTS, Blackpink dan EXO yang kita pernah agungkan itu ternyata tidak mampu memberi syafaat apa-apa. 

Pilihlah daripada sekarang dengan siapa kita mahu dibangkitkan. Cinta kita kepada sesiapa pun, janganlah pula melebihi kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W.

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 26/2/2021