Ini masanya berdamai dan bermuafakat

- Advertisement -

DENGAN perkembangan politik semasa tidak syak lagi PRU ke-15 perlu dipanggil bila-bila masa. PRU kali ini bukan hanya akan menentukan masa depan negara tetapi ia juga bakal menentukan kedudukan dan nasib umat Melayu Islam di masa mendatang.

Kita telah lihat dalam PRU ke-14 dahulu apabila tidak ada titik persamaan antara kuasa-kuasa politik Melayu, masing-masing bersaing sesama sendiri kesannya umat Melayu yang majoriti dalam negara telah berpecah dan lebih malang lagi bangkit suatu kuasa politik baru yang didominasi bukan-Melayu dikepalai DAP.

Jika kita punya kasih pada agama dan bangsa kita sekali-kali tidak akan rela apalagi mengizinkan naik kuasa lain di tanah air tercinta ini. Lantas teraju ummah, kepimpinan politik dituntut berjiwa besar, bertolak-ansur, bermuafakat memikirkan survival dan kepentingan ummah mengatasi kepentingan dan agenda sendiri.

- Advertisement -

Kenyataan terbaru Naib Presiden Umno Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob cukup dialu-alukan dan memberikan keyakinan bahawa kita memang mampu bersatu. Beliau mengingatkan betapa pentingnya Melayu Bumiputera bersatu dalam menghadapi dunia politik yang semakin mencabar. Pesannya: 

“Ingatlah, lidi yang sebatang, terlalu mudah dipatahkan namun jika ia menjadi seberkas, ia menjadi kuat dan kukuh. Maka saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya menolak politik kebencian dan fitnah dan kita harus mencari satu permulaan baru kepada Malaysia yang lebih baik dan aman …”

Kini walau berbeza namun teraju kuasa di tangan kita. Maka uruslah perbezaan apa sahaja kecil atau besar berpandukan agama dan adat budaya Melayu. Yang perlu mengalah janganlah kedekut, yang meminta janganlah tamak, buang yang keruh ambil yang jernih matlamat akhir adalah permuafakatan dan penyatuan kuasa umat Melayu Islam, hingga kekal bumi bertuah yang dipijak ini milik kita selamanya Bermuafakatlah hingga tercapai barakah Allah S.W.T.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -