Khauf (takut kepada Allah)

MENURUT al-Ghazali khauf adalah suatu getaran dalam hati ketika ada perasaan akan menemui hal-hal yang tidak disukai. Ketahuilah, apabila kita membicarakan al-khauf (rasa takut) satu persoalan yang mesti kita tanya diri kita terlebih dahulu. Siapa di antara kita yang tidak memiliki rasa takut?

Rasa takut itu hakikatnya adalah kerisauan hati mengenai akan terjadi sesuatu yang dibenci, yang tidak disukai atau kehilangan sesuatu yang disayangi di masa akan datang. Perasaan itulah yang dikatakan takut. Dan rasa takut ini juga yang menjadi naluri semulajadi manusia. Setiap hamba memiliki rasa takut yang melekat pada dirinya. Namun rasa takut ini, boleh menjadi musuh dan sumber motivasi atau kekuatan, bergantung di mana diletakkan rasa takut itu.

Apabila kita mendalami rasa takut ini, ternyata puncak rasa takut seorang hamba adalah kepada pencipta-Nya, Allah S.W.T. Dan ini adalah puncak ibadah seorang hamba. Dalam bahasa Arab, rasa takut dikenali sebagai al-khauf

Advertisement

Ada juga yang mengatakan rasa takut itu, al-khasyyahAl-khasyyah itu adalah ‘rasa takut yang memiliki ciri keilmuan’ mengetahui mengenai siapa yang dia takutkan. Seperti yang disebutkan oleh Allah dalam firman-Nya yang maksudnya:

“…Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (Melanggar perintah) Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu…”

(Fathir: 28)

Rasa takut ini bermacam-macam. Ada orang takut secara naluri kepada makhluk halus, ada orang takut dengan binatang berbisa dan buas, ada yang takut dengan petir, ada takut dengan kegagalan, ada takut dengan penyakit dan kematian, ada yang takut kepada ketinggian dan macam-macam rasa takut lagi. Maka kita perlu mengkaji secara terperinci mengenai rasa takut ini kerana ia berkaitan dengan agama, keimanan dan keyakinan kita kepada Allah S.W.T. 

Semua tahu ‘menuntut ilmu itu kewajipan setiap Muslim’. Jadi jangan sampai rasa takut yang ada di dalam diri kita ini, ternyata kesyirikan kepada Allah S.W.T. Jadi jangan pernah mengatakan, ‘saya tidak tahu, saya tidak pernah belajar dan saya tidak diberitahu dan diajar.’ Tugas seorang hamba adalah mencari ilmu.

Di ketika banyak pusat-pusat pendidikan tidak mengajarkan apa yang diperlukan oleh manusia mengenai agamanya, mengenai apa tujuan manusia diciptakan. Tetapi masih banyak sekolah dan pusat-pusat pendidikan yang kita boleh pilih sebenarnya. Ketua keluarga dan anak-anak itu sendiri bebas untuk membuat pilihan. Jadi siapa yang kalian hendak persalahkan. Pihak sekolah? Orang tua? Anak-anak? Diri sendiri?

Sudah saatnya kita tidak menyalahkan orang lain dan mencari kambing hitam di atas kejahilan dan kelemahan kita. Kita wajib berusaha untuk memperbaiki diri kita. Kerana kelak kita akan di tanya oleh Allah S.W.T tanpa ada penterjemah dan perantaraan antara kita dengan Allah S.W.T. 

Al Khauf iaitu takut kepada Allah S.W.T. Rasa takut kepada tuhan pencipta manusia, pemilik alam semesta, yang memberikan rezeki kepada makhluk-Nya dan menciptakan syurga dan neraka (syurga bagi hamba-hamba-Nya yang bertakwa dan neraka bagi hamba-hamba-Nya yang bermaksiat kepada-Nya).

Jadi, tidak ada rasa takut yang paling agung dan yang lebih mulia daripada rasa takut kepada Pencipta, iaitu Allah S.W.T. Kerana ini salah satu bentuk penghambaan manusia kepada Allah S.W.T. Manusia merendahkan diri kepada Allah S.W.T. Meyakini Allah boleh berbuat apa sahaja kepada makhluk-Nya, ini terbukti dari negeri-negeri yang sudah dihancurkan oleh Allah S.W.T yang banyak diceritakan di dalam al-Quran.

Semua orang masih boleh memandang piramid yang masih berdiri di Mesir, tetapi yang membangunnya sudah tidak ada. Ke mana Fir’aun dan bala tenteranya? Hilang semuanya diazab Allah S.W.T, tenggelam di lautan. Kaumnya Nabi Soleh, Thamud. Ke mana mereka? Satu kaum yang memahat bukit batu untuk dijadikan rumah-rumah mereka. Semua mereka telah didatangi satu pekikan yang dahsyat dari langit dan gegaran gempa bumi yang menghujani mereka dengan batu menyebabkan semua mereka mati bergelimpangan tanpa tersisa kecuali Nabi Soleh dan pengikutnya.

Maka Allah S.W.T memerintahkan kepada manusia agar rasa takut yang ada di dalam hati, yang penuh dengan pengagungan kepada Allah itu, tidak di berikan kecuali kepada Allah S.W.T sahaja. Rasa takut ini merupakan ibadah. Allah berfirman yang maksudnya:

“Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya (orang-orang Musyrik Quraisy), kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”

(ali-Imran: 175)

Allah S.W.T berpesan kepada orang-orang beriman, jangan takut kepada syaitan, kawan-kawanya dan kekasih-kekasihnya. Dan Allah S.W.T telah menegaskan dalam ayat di atas, “Takutlah kepada Aku.” Apakah kita takut kepada Allah S.W.T?  Di Surah al Ma’idah ayat 44 yang bermaksud:

“…Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit (murah). Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.”

Allah S.W.T mengingatkan lagi manusia agar tidak takut kepada sesama manusia tetapi rasa takutnya hanya untuk Allah S.W.T semata-mata. Semuanya Allah sudah ingatkan di dalam al-Quran, cuma sebahagian kita membaca al-Quran tanpa memahami maknanya. Jadi sampai bila-bila pun, tidak mengetahui pesanan-pesanan Allah S.W.T untuk hamba-Nya:

Dalam Islam takut terbahagi kepada beberapa bahagian, di antaranya:

(1) Takut yang wajib

Rasa takut yang mencegah dan menghalangi hamba-Nya dari melakukan maksiat, menghindari perbuatan-perbuatan dosa dan menjauhi perbuatan syirik. Jadi seorang hamba, harus takut kepada Allah S.W.T dengan rasa takut yang menghalang dari melakukan dosa. Kenapa banyak tersiar berita-berita di media sosial mengenai ramainya orang terlibat dengan perlakuan zina, rogol, rasuah, salah guna kuasa dan macam-macam lagi. Mereka takut kepada siapa? Insya-Allah kalau mereka takut kepada Allah S.W.T, mereka tidak akan rasuah, berzina, mencuri dan membunuh seperti apa yang telah Nabi S.A.W katakan di dalam Hadis beliau:

“Daripada Abu Hurairah RA. Bahawa Nabi S.A.W bersabda, “Tidaklah seorang penzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman”.”

(Riwayat Bukhari (5578) dan Muslim (100))

Kerana rasa takut inilah membuatkan seseorang tidak akan melakukan zina dan dosa-dosa yang lain. Jadi kita perlu meminta ‘rasa takut’ ini kepada Allah S.W.T. Mungkin ada yang akan tertanya-tanya pada diri, ‘bagaimana caranya? Sedangkan perkara yang haram saya masih lakukan, saya sudah mendatangi majlis-majlis ilmu, saya juga sudah belajar mengenai bab khauf ini, tetapi rasa takut itu, masih belum hadir di dalam hati saya.

Bahkan kadangkala kalah dengan syahwat dan nafsu sendiri untuk berbuat kemaksiatan.’ Jadi berdoalah! Sebab Nabi S.A.W sendiri berdoa memohon rasa takut kepada Allah S.W.T, walaupun beliau manusia yang paling mulia dan takut kepada Allah S.W.T. Ini doa Nabi yang panjang, biasanya beliau baca doa ini tatkala beliau bermajlis bersama para Sahabatnya:

“Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Hakim, Nabi berdoa, “Ya Allah, anugerahkanlah untuk kami rasa takut kepada-Mu, yang dapat menghalangi antara kami dan perbuatan maksiat kepada-Mu…,””

Contohnya, kalau orang itu takut kepada polis dan takut dengan sekatan jalan raya polis, dia akan membawa semua dokumen kenderaan dan lesennya sebelum memulakan perjalanan. Sebab dia rasa takut akan tindakan polis ke atasnya kelak. Jadi, bagaimana hendak hadirkan rasa takut di hati kita kepada Allah S.W.T, yang akan menghalang kita dari melakukan dosa dan maksiat? Salah satu caranya berdoa agar Allah hadirkan rasa takut di hati kita…:

“Dan di doa yang lainnya, di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nasai’, Rasulullah S.A.W berdoa, ”Ya Allah aku memohon rasa takut kepadaMu yaa Allah, dalam keadaan aku bersendirian dan di hadapan orang ramai”.”

Inilah rasa takut yang wajib dan inilah rasa takut yang menghalang kita daripada melakukan maksiat.

(2) Rasa takut yang Sunah (yang dianjurkan)

Rasa takut yang memotivasikan hamba untuk mengamalkan ketaatan kepada Allah S.W.T yang bersifat anjuran. Dan menjauhi perkara-perkara yang makruh. 

Ramai di kalangan masyarakat Islam di zaman adanya Rasulullah S.A.W, para Sahabat sangat rajin melaksanakan solat sunat, sampai bengkak-bengkak kaki mereka. Perkara-perkara yang makruh dan mubah mereka tinggalkan. Kenapa? Sebab mereka takut kepada Allah S.W.T. Mereka wali Allah.

Bagaimana kalau ada orang yang mengaku sangat takut kepada Allah S.W.T tetapi dia tidak solat. Siapa mereka ini? Mereka itu wali syaitan. Sebab rasa takut yang sebenarnya akan mendorong seseorang hamba lebih rajin beribadah sampai yang sunah-sunah dikerjakan dan bukan sebaliknya. Orang kalau sudah sampai ke tahap ini, maka dia akan mencapai tingkatan ihsan.

Di mana kata Nabi S.A.W ketika ditanya mengenai ihsan,:

“…Engkau beribadah kepada Allah S.W.T, seakan-akan engkau melihatNya, kalau engkau tak boleh melihat-Nya, maka yakinlah engkau sedang dilihat oleh Allah S.W.T…”

(Hadis Riwayat Muslim no 1)

Sebenarnya ihsan ini dua tingkatan: 

(a) Tingkatan raja’. (Berharap)
(b) Tingkatan khauf (Takut kepada Allah S.W.T).

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: 

“Dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu sesudah mereka. Yang demikian itu (adalah untuk) orang-orang yang takut (akan menghadap) kehadirat-Ku dan yang takut kepada ancaman-Ku”.

(Ibrahim: 14)

Seseorang hamba itu takut kepada Allah sebab dia tahu dia akan berdiri di hadapan Allah di akhirat kelak. Dia juga tahu kedudukan Allah S.W.T yang begitu tinggi dan berkuasa. Dia tahu dahsyatnya azab Allah S.W.T dan dia takut dengan ancaman Allah S.W.T. 

Kalau ingin mengharapkan sebuah negara yang aman iaitu ‘Baldatun thayyibatun’ yang mempunyai kehidupan rakyatnya yang makmur dan bersyukur, negeri yang aman dari musuh dalam dan luar, pemimpinnya adil dan hubungan yang baik antara pemimpin dan rakyat. Jadi bagaimana untuk meraih hal itu?

Lihat jawapan Allah S.W.T yang bermaksud: 

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.”

(al A’raf: 96)

Ini janji Allah S.W.T. Janji Allah ini diberikan kepada siapa? Kepada orang yang takut dan harap kepada Allah S.W.T iaitu orang yang beriman dan bertakwa. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“…Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

(Fathir: 28)

Siapa yang takut sebenarnya? Orang yang berilmu. Oleh itu al Imam Ahmad bin Hambal ketika ditanya mengenai ilmu, beliau menyatakan, “Hakikat ilmu adalah takut kepada Allah S.W.T.” Tetapi ramai sekarang ini yang mempunyai ilmu tetapi tidak takut kepada Allah S.W.T. Manusia yang mengenal Allah S.W.T dengan sebenar-benarnya, pasti di hatinya mempunyai rasa takut kepada Allah S.W.T sebab dia tahu bahawa Allah S.W.T Maha Agung, Maha Kuat dan Maha Perkasa. Dengan pengetahuan tersebut akan menjadikan ia taat kepada Allah S.W.T.

Hal ini dikuatkan lagi oleh Hadis Nabi S.A.W di bawah:

“Nabi S.A.W mengatakan, “Demi Allah aku adalah orang yang paling kenal Allah S.W.T dan yang paling berilmu mengenai Allah S.W.T dari mereka semuanya, dan aku orang yang paling takut kepada Allah S.W.T”.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi semakin mendalam ilmu mengenai Allah S.W.T, mengenai agama Allah S.W.T dan mengenai ancaman-ancaman Allah S.W.T, insya-Allah engkau akan semakin takut kepada Allah S.W.T. 

Lihat bagaimana Rasulullah S.A.W mendidik para Sahabatnya untuk takut kepada Allah S.W.T melalui khutbah-khutbah, lihat Hadis di bawah ini.

“Dari Anas R.A. Berkata: Rasulullah S.A.W berkhutbah, tidak pernah aku mendengar suatu khutbah pun yang semacam itu kerana amat menakutkan. Beliau S.A.W bersabda, “Seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, kalian pasti akan sedikit ketawa dan banyak menangis”.”

“Anas berkata: Maka para Sahabat Rasulullah S.A.W menutupi muka mereka lalu menangis teresak-esak.”

(Muttafaq ‘alaih)

Abu Bakar as-Siddiq adalah salah seorang di antara Sahabat utama Nabi S.A.W dan dia seorang yang paling mulia di antara umat ini setelah Nabi S.A.W dan Nabi sendiri mengatakan di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi:

“Dari Abdurrahman bin Auf, ia berkata, Rasulullah S.A.W bersabda, “Abu Bakar di syurga…”.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Nabi menyebutkan kemuliaan Abu Bakar as-Siddiq dalam Hadis di atas. Bagaimana sikap Abu Bakar? Apakah setelah mendapatkan khabar gembira dia dijamin masuk syurga, Abu Bakar akan terus santai-santai sahaja dengan ibadah kepada Allah S.W.T? Tidak, Abu Bakar seorang yang sangat dekat hubungannya dengan Allah S.W.T sehingga terdengar suara tangisannya ketika beliau solat dan sangat terkehadapan dari yang lain dalam amalannya. 

Hadis di bawah membuktikan keilmuan Abu Bakar menjadikan beliau semakin takut dan bertakwa kepada Allah S.W.T. Memang layak Abu Bakar as-Siddiq menjadi pendamping kesayangan Rasulullah S.A.W di dunia dan akhirat.

Abu Hurairah meriwayatkan:

“Rasulullah S.A.W bertanya: “Siapakah di antara kamu yang berpuasa hari ini? Abu Bakar menjawab: Saya. Baginda bertanya lagi: siapa di antara kamu yang menghantar jenazah hari ini? Abu Bakar menjawab: Saya. Baginda bertanya lagi: Siapa yang memberi makan pada orang miskin pada hari ini? Abu Bakar menjawab: Saya. Baginda bertanya lagi: Siapa yang menjenguk orang sakit hari ini? Abu Bakar menjawab: Saya. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda: Tiadalah amalan tersebut berkumpul pada diri seseorang kecuali dia akan masuk syurga””

(Hadis Riwatat Muslim no 1707)

Di antara ciri-ciri keimanan seseorang hamba kepada Allah S.W.T adalah rasa takut dan khawatir yang sangat besar dan mendalam terhadap dosa-dosanya. Kerana setiap dosa kelak akan menjadi kepedihan mendalam dan kesengsaraan terseksa di dalam api neraka:

“Dari Abdullah bin Mas’ud R.A berkata, bahawa Nabi S.A.W bersabda, Sesungguhnya seorang Mukmin (ketika) ia melihat dosa-dosanya, adalah seperti (ketika) ia duduk di lereng sebuah gunung, dan ia sangat khawatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (orang yang selalu berbuat dosa), ketika ia melihat dosanya adalah seperti ia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya seperti ini lalu terbang (ia menganggap remeh dosa)””

(Hadis Riwayat Bukhari)

Inilah perbezaan orang beriman dan orang munafik. Tetapi ketahuilah rasa takut kepada Allah S.W.T itu tidak boleh melampaui batas kerana ada orang yang takut kepada Allah S.W.T akhirnya berputus asa setelah dia sedar mengenai banyaknya dosa yang sudah dilakukannya. Dia merasakan seolah-olah tidak diampunkan dosa-dosanya oleh Allah S.W.T. Jadi rasa takut ini tercela, namanya putus asa.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Ibrahim berkata: “Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhan-nya, kecuali orang-orang yang sesat”.”

(al Hijr: 56)

Jadi berhati-hatilah, jangan sampai rasa takut menyebabkan kalian, menjadi orang yang tersesat lalu berputus asa dari rahmat Allah S.W.T. Akhirnya semakin jauh dari Allah S.W.T dan meninggalkan beribadah dengan alasan Allah S.W.T tidak menerima ibadahnya. Ingatlah! rahmat Allah itu meliputi segala sesuatu.

Ambillah pengajaran dari cerita orang yang membunuh 99 orang dan ditambah satu lagi dengan membunuh ahli ibadah. Kemudian dia bertaubat. Allah S.W.T mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga. Dan begitu juga seorang penzina, yang telah berusaha memberi minum pada seekor anjing yang kehausan di padang pasir. Dengan perbuatannya itu dia mendapatkan ampunan dari Allah S.W.T. Jadi rasa takut kita hendaklah mendorong kita untuk semakin dekat dengan Allah S.W.T dan bukan berputus asa dari rahmat Allah S.W.T.

(3) Takut yang mubah (yang dibolehkan)

Sebab ianya bukan dalam ibadah. Ini takut yang natural atau semula jadi. Seperti takutnya manusia kepada binatang buas, COVID-19, takut kepada penyakit, takut kepada api, takut tenggelam dan lain-lain. Sebenarnya rasa takut ini, bermanfaat kerana mendorong orang untuk melakukan tindakan pencegahan ,

Nabi Musa A.S ketika beliau membunuh dengan tidak sengaja, salah seorang rakyat Fir’aun. Beliau akhirnya ketakutan dan meninggalkan Mesir. 

Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut menunggu-nunggu dengan khawatir, dia berdoa: “Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dari orang-orang yang zalim itu”.”

(Qashash: 21)

Jadi takut pada orang yang zalim itu takut yang mubah. Jadi takut kepada penyakit, takut kepada COVID-19, takut kepada ular itu takut yang mubah: 

(4) Rasa takut yang haram

Iaitu takut yang menjadikannya meninggalkan amar maaruf nahi mungkar. Dia melihat kemungkaran tetapi dibiarkan. Kenapa? Kerana takut akan kemudharatan yang bakal menimpa diri dan hartanya dan takut kedudukan dan pangkatnya mungkin hilang. Walau bagaimanapun, hukum wajib mencegah kemungkaran dengan hati itu masih belum gugur darinya. Hakikatnya seorang Muslim itu hendaklah mencegah kemungkaran tersebut dengan tangan atau lidahnya bergantung kepada kemampuannya dan selemah-lemah iman dengan hatinya: 

“Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya pada hari kiamat nanti Allah S.W.T akan bertanya kepada hamba-Nya: “Apakah yang menghalang kamu dari mencegah kemungkaran apabila kamu melihatnya?” Apabila Allah S.W.T selesai mengajar kepada manusia hujah-Nya, hamba-Nya pun berkata: “Ya Tuhanku, aku mengharapkan Mu dan menjauhi manusia”.”

(Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah daripada Abu Sa’id al Khudri)

Maksud Hadis itu, aku mengharapkan kemaafan dan keampunan-Mu dan aku takut sekiranya manusia menimpakan kemudharatan ke atas diri dan hartaku. Jadi ini takut yang haram, yang membuatkan kita meninggalkan amar maaruf nahi mungkar

(5) Takut yang merupakan kesyirikan

Ini rasa takut yang menakutkan yang dapat mengeluarkan manusia dari keimanan. Di mana seorang hamba takut kepada makhluk dan rasa takut ini bercampur dengan pengagungan, ketundukan dan cinta. 

Sesungguhnya manusia hanya takut kepada Allah S.W.T sahaja. Tetapi kenapa, contohnya rasa takut ini engkau berikan kepada makhluk? kenapa? Takut ini hanya untuk Allah S.W.T bukan pada selain-Nya. 

‘Khauf sir’ pula adalah rasa takut yang tersembunyi. Seperti takut kepada penghuni kubur atau orang yang sudah mati, pokok-pokok besar, keris-keris dan lain-lain. Hati-hati dengan rasa takut ini sebab penghuni kubur dan yang lain-lain tersebut tidak mungkin boleh mencelakakannya kecuali dengan izin Allah S.W.T. Ini juga termasuk kesyirikan kepada Allah S.W.T. 

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Bukankah Allah cukup untuk melindungi (mencukupi) hamba-hamba-Nya. Dan mereka mempertakuti kamu dengan (sembahan-sembahan) yang selain Allah? Dan siapa yang disesatkan Allah maka tidak seorangpun pemberi petunjuk baginya.”

(az-Zumar: 36)

Setelah panjang lebar dihuraikan mengenai apa itu rasa takut kepada Allah S.W.T atau dikenali dengan al-khauf, sekarang sudah saatnya dibincangkan apa buah atau hasil dari adanya rasa takut kepada Allah S.W.T. Di atas sudah dibincangkan perbezaan antara orang Mukmin dan orang Munafik. Jadilah kita orang-orang beriman.

Kebiasaannya kalau kita takut dari sesuatu seperti takut kepada singa atau ular, kita akan lari daripadanya, tetapi kalau kita takut kepada Allah S.W.T, kita akan lari menuju kepada Allah seperti pesanan-Nya dalam ayat di bawah yang bermaksud:

“Maka segeralah (larilah) kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu.”

(adz-Dzariyat: 50)

Buah atau hasil dari rasa takut kepada Allah S.W.T:

(1) Takut itu akan mendorong hamba untuk beramal soleh dan melakukannya ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.

Kalau dibicarakan mengenai amal soleh, ramai orang beramal soleh seperti banyak solatnya, banyak zakatnya, banyak puasanya, sempurna hajinya dan banyak sedekahnya. Cuma yang ingin diingatkan di sini agar setiap amal soleh yang yang dilakukan itu biarlah ikhlas kerana Allah S.W.T.

Dalam ayat di bawah, Allah menceritakan mengenai sifat-sifat penghuni syurga. Surah al-Insan ayat 9 dan 10:

Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”

“Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan.”

Subhanallah. Mereka mengatakan ‘kami ini takut kepada Allah S.W.T.’ Sehingga tatkala mereka bersedekah, memberi makan kepada orang-orang miskin dan melakukan amal kebajikan yang lainnya, mereka lakukannya bukan kerana ingin dipuji tetapi untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Sekarang macam sudah jadi trend atau budaya, di mana-mana ditubuhkan ‘persatuan kebajikan’ oleh NGO (Non governmental organization) dengan pelbagai matlamatnya. Ramai orang memberi sumbangan itu ini. Kenapa ada yang memilih-milih waktu untuk menyumbang? Ada juga ketika musim pilihan raya dan dicalonkan baru menyumbang kepada masyarakat? Apa tujuannya? Wallahu ‘aklam

Tetapi kalau mereka orang yang baik, mereka akan selalu menyumbang, tidak tunggu pilihan raya atau sebab-sebab tertentu baru menyumbang. Penghuni syurga suka menyumbang tanpa ingin mengharapkan balasan, pujian dan ucapan terima kasih tetapi ingin beramal soleh dengan ikhlas, sebab dia tahu, dia dilihat oleh Allah S.W.T. 

(2) Akan menundukkan syahwatnya.

Takut kepada Allah S.W.T akan menghilangkan keinginan-keinginan pada perkara-perkara yang haram dan kebencian hati pada perbuatan maksiat dan nikmat kelazatan dunia yang melalaikan dan merugikan.

Allah S.W.T telah menceritakan kisah dua beradik Qabil dan Habil di dalam al-Quran untuk pelajaran bagi hamba-hamba-Nya. Cuba lihat apa reaksi dan kata-kata Habil tatkala Qabil mengancam akan membunuhnya dalam ayat di bawah yang bermaksud: 

“Sungguh kalau kamu (Qabil) menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam”.

(al Maidah: 28)

Masya-Allah inilah yang menghalang Habil untuk membunuh saudaranya. Dia takut kepada Allah S.W.T. Dia tahu dia akan kehilangan kehidupan ini dan kehilangan dunia ini, tetapi dia tidak kehilangan Allah S.W.T.

Kemudian dikukuhkan lagi dengan Hadis Nabi S.A.W mengenai tujuh orang yang akan mendapatkan naungan dari Allah S.W.T dan di antaranya seorang lelaki yang di ajak berzina:

“Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, dari Nabi S.A.W bersabda: “…. Seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang cantik dan bangsawan tetapi dia menolak dan mengatakan, ‘Aku takut kepada Allah S.W.T’….”

Bayangkanlah betapa hebatnya lelaki ini, dia diajak oleh seorang perempuan, bukan dia yang mengajak untuk berzina. Perempuan itu pula cantik, bukan wanita biasa-biasa tapi dia wanita yang terhormat di kampungnya. Lelaki itu dengan yakinnya mengatakan, ‘Aku takut kepada Allah S.W.T.’ Inilah buah dari rasa takut kepada Allah. 

(3) Seorang yang mengingat Allah S.W.T ketika sendirian (keadaan sepi) lalu air matanya menitis. 

“Diriwayatkan dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Siapa sahaja yang berzikir kepada Allah S.W.T kemudian mengalir air matanya hingga menitis ke tanah disebabkan rasa takutnya kepada Allah S.W.T, nescaya Allah tidak akan menyeksanya pada hari kiamat.””

(Hadis Riwayat al-Hakim)

(4) Rasa aman.

Orang yang rasa takut kepada Allah di dunia, maka nanti pada hari kiamat, Allah akan berikan keamanan kepada dia: 

Di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mubarak:

“Nabi S.A.W bersabda, “Bahawa Allah berfirman di dalam Hadith Qudsi: “Demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, Aku tidak menghimpunkan dua rasa takut kepada hamba-Ku dan tidak pula akan mengumpulkan baginya dua rasa aman (Rasa tidak takut). Kalau dia berasa aman (tidak takut) dengan Aku ketika di dunia, Aku akan jadikan dia rasa takut pada hari kiamat. Sebaliknya kalau dia rasa takut kepada Aku di dunia, maka Aku akan jadikan dia rasa aman di akhirat.”

(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Hasan al-Basri mengatakan, orang beriman melakukan ketaatan kepada Allah dalam keadaan gentar dan sangat takut dan harap di dalam hati agar terhindar dari azab Allah S.W.T di akhirat kelak. Adapun pelaku maksiat selalu melakukannya dalam keadaan tenang dan merasa aman (tidak takut), padahal cepat atau lambat, dia akan menerima azab dan balasan dari perbuatannya nanti.

(5) Diampunkan semua dosa-dosanya.

Allah berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar.”

(al-Mulk: 12)

Allahuakbar!, orang yang takut kepada Allah S.W.T akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar seperti janji Allah dalam ayat di atas.

Rasulullah S.A.W juga suka menceritakan kisah-kisah yang dapat menjadi pelajaran bagi umat Islam. Kisah yang disampaikannya bukanlah khayalan atau kebohongan, melainkan hal nyata yang pernah terjadi. Allah S.W.T menjaga beliau dari perbuatan buruk, termasuk berkata dusta.

Seperti diriwayatkan Imam Muslim dalam Shahihnya, terdapat satu Hadis Nabi S.A.W:

“Beliau bersabda di hadapan para Sahabat. “Ada seorang lelaki (Dari zaman silam) yang tidak pernah melakukan satu kebajikan pun (semasa hidupnya) berpesan kepada keluarganya. Apabila dia sudah meninggal dunia, maka bakarlah (jasad) dia. Lantas, taburkan separuh darinya (Abu Jasad) di atas tanah, sedangkan separuhnya (lagi) di atas lautan.” Kata Rasulullah S.A.W membuka kisahnya.

“Mengapa lelaki tersebut berwasiat demikian? Ternyata rasa takutnya akan azab Allah S.W.T begitu mencekam dirinya yang di ambang ajal. “Kerana demi Allah S.W.T, jika Allah S.W.T Menangkapnya, pasti (Allah) akan menyeksanya dengan seksa yang tidak Dia timpakan kepada sesiapa pun (Selain diri ini),” demikian kata-kata lelaki tadi.

“Maka ketika akhirnya lelaki itu wafat, seluruh anggota keluarganya melaksanakan amanat tersebut. Jasad lelaki itu dibakar, untuk kemudian abunya dipisah dua dan ditabur di dua tempat berbeza.

“Allah S.W.T kemudian memerintahkan daratan dan lautan. Maka berkumpullah semua abu jasad lelaki tadi.

“Allah S.W.T lalu memanggil lelaki itu, “Mengapa kamu melakukan hal itu?

““Kerana aku takut kepada-Mu, Ya Tuhanku dan Engkau sungguh Maha Mengetahui,” jawab lelaki ini.

“Allah lantas mengampuni dosa-dosanya kerana rasa takut hamba-Nya ini kepada Penciptanya. Dengan begitu, kesalahannya yang mengira jasadnya tidak akan mungkin berkumpul lagi menjadi satu sebab juga dia diampunkan Allah S.W.T.”

Maka dengan itu, jangan sampai lisan kita sangat mudah menghakim orang lain. Boleh jadi orang yang suka berbuat dosa sepanjang hayatnya, akhirnya mendapat rahmat dan keampunan Allah S.W.T kerana itulah kehendak Allah S.W.T. Apalagi, keimanan letaknya di hati. Tidak ada satu orang yang boleh memastikan ‘warna’ hati orang lain.

(6) Rasa takut itu akan membawa ke syurga.

“Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa yang takut, maka dia akan berjalan di awal malam (sebelum malam), dan barang siapa yang berjalan di awal malam maka dia akan sampai kepada tempat yang diinginkan sebelum malam. Sesungguhnya barang dagangan Allah itu mahal dan ketahuilah bahawa sesungguhnya barang dagangan Allah itu syurga.”

(Hadis Riwayat Tirmizi dan disahihkan oleh al Albani)

Ini adalah perumpamaan yang dibuat oleh Nabi S.A.W bahawa perjalanan menuju akhirat itu, akan dihadang oleh syaitan, hawa nafsu serta angan-angan dusta. Jika dia berhati-hati dan mengikhlaskan niat di dalam amalannya maka dia akan aman dari gangguan syaitan dan sesiapa sahaja yang menghalang. Kemudian Rasulullah menjelaskan bahawa menjalani jalan menuju akhirat sulit dan mendapatkannya tidak mudah dan memerlukan usaha yang sungguh-sungguh dan istiqamah sebab balasannya mahal iaitu syurga.

Dan lagi dikukuhkan oleh firman-Nya yang bermaksud:

Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua surga.”

(ar-Rahman: 46)

Orang yang takut akan saat berdiri menghadapi Allah S.W.T kelak di hari kiamat untuk dihisab, dia tidak menurut hawa nafsunya, tidak memilih kehidupan dunia, mengetahui bahawa kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal. Kerana itu, dia menunaikan semua yang difardhukan Allah dan menjauhi hal-hal yang diharamkan baginya. Syurga yang pertama sebagai balasan kerana meninggalkan larangan, sedangkan syurga yang kedua kerana mengerjakan ketaatan.

Kesimpulannya

Takut kepada Allah S.W.T menjadikan hamba semakin dekat dan cinta kepada-Nya sehingga dia tidak lagi takut dengan kehilangan apa-apa sahaja di dalam kehidupannya sebab dia tidak kehilangan Allah S.W.T. Semoga Allah memberikan kita rasa takut kepada-Nya yang menghalang kita dari berbuat dosa.dan maksiat. aamiin

Wallahu‘alam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 22/1/2021