Ketaatan diri sebagai tanda syukuri nikmat Allah

- Advertisement -

PAYA BESAR: Mensyukuri nikmat dan anugerah Allah S.W.T dalam erti kata yang sebenarnya adalah dengan mengembalikan ketaatan kepada Allah S.W.T, kata ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.

Demikian itu menurutnya, apabila hak Allah terjaga, maka Dia akan menjaga dan memberikan pula pertolongan-Nya dari pelbagai sisi, serta dipermudahkan urusan oleh Allah di dunia dan akhirat, apabila dia mempermudahkan urusan orang lain.

- Advertisement -

Beliau berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangam ‘One Off’ Warga Emas dan Bantuan Am kepada penerima disenarai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuantan yang dilangsungkan di Dewan Perumahan Permatang Badak Baru, di sini semalam.

Ustaz Tarmizi menyerahkan sumbangan itu mewakili Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kepada 30 penerima pada majlis yany dikendalikan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Panching itu.

“Bersyukur Allah beri nikmat hidup, nikmat mata, nikmat telinga, nikmat kesihatan dan sebagainya dan ditambah dengan sumbangan (diterima) hari ini.

“(Oleh itu) kita kena dekat kepada Allah, kerana Allah kata, “Kalau kamu bersyukur, Allah akan tambahkan nikmat kepada kamu dan jika kamu kufur, akan disediakan azab yang pedih”,” ujarnya.

Menyeru para penerima lebih dekat dengan Allah sebagaimana ayat 7 surah Ibrahim tersebut, beliau juga merakam penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri berkongsi kemakmuran hasil itu dengan rakyat.

Seorang penerima, Zabidah Abd Ghani yang juga ibu tunggal lima anak dan menjaga dua cucu mengakui bantuan tersebut hadir secara tidak disangka-sangka dan amat bersyukur ada pihak berkongsi seperti itu.

Hadir sama Penghulu Mukim Kuantan 2, Roslan Amat dan Pegawai JKM Kuantan, Liana Mohamed serta Ketua-ketua Kampung dan Pegawai PKM DUN Panching. – HARAKAHDAILY 31/12/2020

- Advertisement -