PAS-Umno-Bersatu bertemu, gagasan lebih mantap

SHAH ALAM: PAS Selangor berusaha merealisasikan gagasan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) ke arah memantapkan Kerajaan PN.

Menyambut seruan Presiden PAS itu, Pesuruhjaya negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mengadakan pertemuan enam mata bersama Pengerusi Umno, Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Bersatu, Datuk Abdul Rashid, baru-baru ini.

“Alhamdulillah…menerusi platform perpaduan ummah, pertama kalinya pertemuan PAS, Umno dan Bersatu duduk semeja berbincang menyentuh hal-hal semasa dalam politik dan sebagainya,” katanya.

Advertisement

Tambah beliau, PAS berperanan menjadi jambatan penghubung kebijakan politik matang dan sejahtera.

Secara tidak langsung, kata beliau menafikan naratif dengan dakwaan PAS bermain dua kolam bahkan realitinya PAS mahu mejadi penghubung perpaduan ummah demi politik dan masa depan negara.

Beliau yang juga Adun Sijangkang menegaskan banyak persamaan yang dapat dirungkai dan perbezaan diketepikan setelah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Umno dan Bersatu.

Katanya, ini bermakna muafakat akan menjadi suatu gagasan yang lebih mantap untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15).

“Apa maknanya kalau masing-masing gagal berlapang dada dalam menghadapi pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi.

“Akhirnya bertanding dalam tiga penjuru dan gagal membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 20/2/2021