Saham: Sokong penuh keputusan Presiden KFA

Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor untuk tidak meneruskan dan memberhentikan rundingan pengambilalihan 80 peratus saham Kedah Darul Aman FC (KDA FC) oleh sebuah syarikat tempatan mendapat sokongan penuh daripada timbalan presiden, naib-naib presiden, setiausaha kehormat dan seluruh ahli eksekutif KFA.

- Advertisement -

“Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA juga menyokong penuh KDA FC diuruskan sepenuhnya oleh syarikat Darul Aman Football Club Sdn. Bhd. buat masa ini dan meninjau peluang pelaburan dengan terus membuka pintu rundingan dengan mana-mana pihak yang ingin membuat penawaran lebih lestari dan menguntungkan kedua-dua pihak dalam isu pemilikan saham KDA FC di masa akan datang,” kata KFA dalam satu kenyataan, malam tadi.

Mereka yang sebulat suara mengeluarkan kenyataan media itu menyebut KFA menekankan bahawa setiap tawaran dilakukan biarlah bermaksud untuk pemilikan saham tanpa melibatkan galang ganti hak rakyat Negeri Kedah.

Tambah kenyataan itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA percaya kepada kebijaksanaan Presiden dalam membuat keputusan yang diumumkan baru-baru ini, pasti selepas mempertimbangkan semua aspek teknikal dan perundangan, cadangan pelaburan syarikat tersebut tidak dapat dipersetujui kerana melibatkan aset utama rakyat Kedah.

Oleh itu, ujarnya memberi keutamaan hak rakyat dan melihat keuntungan jangka panjang kepada rakyat Negeri Kedah berbanding pulangan pelaburan jangka pendek kepada KDA FC adalah keputusan yang cukup jelas dan berhikmah sebagai seorang ketua pentadbiran negeri Kedah.

Justeru, tambahnya KFA menyokong penuh jika pada masa hadapan, rundingan pengambil alihan saham KDA FC diteruskan kepada mana-mana pihak yang berkemampuan untuk mengurus operasi KDA FC tanpa meletakkan tawaran berserta syarat di luar bidang kuasa syarikat pengurusan sebagai galang ganti untuk menjalankan pelaburan.

Rabu lalu, media melaporkan proses rundingan pemilikan saham 80 peratus KDA FC) ditamatkan oleh KFA.

Muhammad Sanusi berkata, keputusan itu berikutan KFA dan kerajaan negeri tidak dapat memenuhi permintaan syarikat terbabit.

Katanya, permintaan mereka terlalu besar, antaranya memohon tanah sedangkan tanah yang dimiliki kerajaaan negeri kebanyakan berstatus tanah pertanian, industri dan lain-lain.

“Saya tidak dapat memberi pertimbangan akan hal itu,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah pada sidang media di Wisma Darul Aman.

Sehubungan itu, KFA percaya banyak lagi model pelaburan yang lebih menguntungkan kedua-dua pihak jika sesuatu pelaburan itu bersandarkan kepada industri bolasepak dan melihat kelestarian sesuatu pelaburan di tempat yang sepatutnya.

“Kami mendoakan semoga YAB Presiden KFA terus menerajui dan menguruskan pentadbiran negeri dan KFA dengan bijaksana dalam memastikan kepentingan semua pihak dalam negeri Kedah diberi keutamaan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/2/2021

- Advertisement -