Kenapa ADUN DAP Bilut berpemikiran sengal?

Pertikai polis dan tentera membawa senjata semasa penugasan memeriksa rumah ibadat

- Advertisement -

BENTONG: ADUN Bilut, Lee Chin Chen hanya menyerlahkan sikap dangkal, paranoid dan rasis apabila mengajukan pertikaian yang tidak wajar terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Bentong, Yusma Yusof membidas pemimpin muda DAP itu yang dilihat sengaja mengapi-apikan isu dan sentimen perkauman serta agama, sedangkan anggota berkenaan dalam penugasan.

“Apa yang peliknya polis dan tentera membawa pistol dan senapang? Semua orang tahu sejak lebih setahun lalu polis dan tentera menjadi sebahagian ‘frontliners’. Mereka jaga kita dan negara. Lagipun sekarang masih dalam tempoh PKP dan Darurat.

- Advertisement -

“Kenapa kamu berpemikiran senak dan sengal? Sebagai salah seorang ahli politik, pertikaian kamu itu bukan sahaja memalukan, tapi juga keterlaluan dan berunsur hasutan,” tempelaknya yang juga penduduk DUN Bilut.

Yusma turut kesal dakwaan ekstrem Lee Chin Chen yang merupakan Setiausaha DAP Negeri Pahang kononnya kehadiran pasukan keselamatan sedemikian mengganggu penganut untuk menjalankan kegiatan keagamaan.

Malah, turut dinyatanya polis dan tentera memeriksa rumah ibadah sebagai gambaran arahan dari Kerajaan Perikatan Nasional yang menjalankan politik diktator dan cuba menunjukkan kekuatan kepada awam.

“Apakah kamu dirasuk bayangan Komunis hingga anti dan benci melihat polis dan tentera? Siapa kamu hendak desak Ketua Polis Negara mohon maaf. Jika benar ada pelanggaran undang-undang, laporkan ke pihak berkuasa.

“Tetapi dakwaan kamu terlalu skeptikal dan membayangkan ketakutan terhadap polis dan tentera, sedangkan tugas mereka memastikan keselamatan dan ketenteraman awam,” ujarnya mendesak Chin Chen memohon maaf.

Tegas Yusma, DAP seringkali menunjukkan sikap tidak hormat kepada penjawat awam termasuk terhadap agensi-agensi penting, sebaliknya lebih menzahirkan perseteruan kepada tulang belakang negara. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -