Pelajar agama baca al-Quran di pusat kuarantin

- Advertisement -

MACHANG: Pelajar sebuah sekolah agama yang positif Covid-19 dikuarantin di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) sejak beberapa hari lalu membaca al Quran dan surah Yasin beramai-ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, mereka menunjukkan contoh yang baik ketika dikuarantin.

Katanya, pelajar terbabit mengambil ruang pada waktu-waktu tertentu berada di Putik membaca al Quran.

“Sebagai pelajar dari sekolah agama, mereka menunjukkan contoh yang baik dan ia cukup membanggakan kita,” katanya di sini.

- Advertisement -

Baru-baru ini, seramai 41 pelajar yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah agama berasrama di Machang disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Zaini Hussin sebelum ini berkata, kesemua pelajar berkenaan dibawa ke pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak MPKB BRI dan Putik selepas disahkan positif.

Kata beliau kes terbabit melibatkan calon SPM yang kontak rapat kepada kluster Pangkal Changgong membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, ibu bapa calon peperiksaan SPM dan pentadbir sekolah perlu sentiasa mengingatkan pelajar mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, SOP yang ketat mesti diingatkan kepada pelajar khususnya yang tinggal di asrama bagi mengelak penularan Covid-19 kepada calon-calon SPM yang lain.

“Sekiranya ibu bapa bertindak cepat membawa mereka ke hospital jika demam perkara itu dapat diatasi dengan segera.

“Pada masa yang sama pentadbir sekolah atau waden asrama perlu bertindak segera sekiranya didapati ada pelajar yang mempunyai simptom tertentu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -