Kerajaan galak penternak tanam rumput napier

- Advertisement -

BACHOK: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (Mafi) merangka langkah bagi memastikan isu kenaikan harga makanan ternakan dan kesan kepada industri penternakan tidak berlaku.

- Advertisement -

Timbalan Menterinya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, antara langkah ialah menggalakkan penanaman rumput napier yang bukan sahaja membekalkan makanan haiwan ternak, malah menjana pendapatan tambahan penternak.

Menurutnya, kerajaan akan melaksanakan kempen bagi menggalakkan penanaman tumbuhan terbabit serta mengadakan kursus kepada penternak di seluruh negara bagi mengatasi kebergantungan bahan makanan ternakan.

“Kalau kita galakkan penternak kita tanam napier kerana sekali tanam boleh guna sampai bila-bila, berbeza jagung yang boleh sekali guna tetapi rumput tersebut boleh ambil hasil selagi penjagaan rapi dan pembajaan sesuai.

“Ia sangat berzat untuk haiwan ternakan, antaranya kita akan adakan kempen untuk pemain utama sektor penternakan ini untuk menyediakan sendiri makanan napier, di sampaing dengan kursus dan latihan yang sangat mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan harga bahan makanan ternakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan pengimportan jagung terhenti dan menjejaskan industri itu.

Sebelum ini kira-kira 100 penternak di Peringat dan Melor di sini mengesa kerajaan mengambil tindakan bagi mengawal harga dedak yang dikatakan naik sejak kebelakangan ini khususnya pada Mac tahun lalu selepas PKP dilaksanakan.

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, selain itu antara langkah dilakukan ialah menjalinkan kerjasama strategik dengan pemain industri bagi meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan.

Menurutnya pengeluaran jagung terbabit secara komersil dan kajian lebih menyeluruh berkaitan kos kawalan penyakit dan peningkatan kualiti jagung bijian tempatan dengan kos pengeluaran memenuhi keperluan pengilang makanan ternakan.

Kerajaan merancang untuk mendapatkan sumber bekalan bahan mentah makanan ternakan dari negara jiran di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand berbanding Brazil dan Argentina sebelum ini bagi mengurangkan kos logistik.

Usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dipertingkatkan katanya bagi menghasil dan memperkenalkan bahan mentah gantian yang bersesuai sebagai bahan mentah utama dalam penghasilan makan ternakan.

Beliau berkata, maklum balas dari pengusaha industri dalam sektor penternakan dan persatuan pengilang makanan ternakan mengesahkan kenaikan harga makanan ternakan meningkat sehingga empat hingga lima peratus.

Menurutnya lagi, peningkatan harga itu dipengaruhi kenaikan nilai komoditi bahan mentah utama makan ternakan yang diimport sepenuhnya iaitu jagung dan kacang soya susulan peningkatan harga pasaran dunia.

Jagung meningka 15.2 peratus kepada RM1,100 per tan pada November 2020 berbanding RM955/tan pada April 2020, begitu juga kacang soya meningkat 9.4 peratus kepada RM2,100/tan pada November 2020 berbanding RM1,920/tan pada April 2020.

“Harga bahan mentah utama makanan ternakan ini ditentukan oleh harga di pasaran komoditi dunia serta beberapa faktor seperti Malaysia masih bergantung kepada jagung bijian yang diimport dari Argentina dan Brazil.

“Serta pengeluaran jagung bijian tempatan masih belum mencapai keperluan komersil pengilangan dari segi kuantiti dan kita tiada bahan mentah gantian yang sesuai dalam makanan ternakan seperti ayam daging dan telur,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -