Buku ‘Islam dan Demokrasi’ tulisan Presiden PAS dilancar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pustaka Permata Ummah melancarkan buku tulisan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bertajuk ‘Islam dan Demokrasi’.

- Advertisement -

Pelancaran buku tersebut dilakukan secara atas talian di Facebook Pustaka Permata Ummah selama empat jam bermula 8 sehingga 12 malam, dihoskan oleh Muhammad Saifullah Mahbub dan Muhammad Fuad Ahmad selaku pegawai di penerbitan berkenaan.

Difahamkan, buku yang dilancarkan tersebut setebal 424 muka surat dan mengandungi 25 bab, malah didatangkan dengan hard cover (kulit keras) berserta infografik dan nota kaki.

Diskaun sebanyak 20 peratus diberikan kepada pembeli terawal di mana harga pelancaran hanya terhad untuk empat jam sahaja daripada jam 8.00 malam pada 11 Februari lalu dengan nilai senaskhah RM48.

Difahamkan, karya tersebut merupakan kesinambungan daripada siri politik pemikiran Islam bertajuk Islam Memimpin yang ditulis oleh Tuan Guru Abdul Hadi dua tahun lalu.

Karya tersebut dihasilkan untuk menjelaskan perbandingan antara konsep dan prinsip politik Islam dengan sistem demokrasi yang dijadikan amalan politik moden ketika ini.

Selain itu, dalam karya tersebut, Presiden PAS menceritakan dasar dan prinsip penglibatan PAS dalam demokrasi di negara ini, di samping menghuraikan perbezaan konsep politik Islam dan politik Barat dari sudut pemikiran sejarah yang mempengaruhi pelaksanaan demokrasi moden.

Idea yang diketengahkan oleh penulis bersifat wasatiyyah antara dua aliran yang ekstrem dan liberal dalam menentukan sikap terhadap demokrasi.

Adunan pengalaman selama puluhan tahun PAS dalam menegakkan agenda Islam mengikut saluran demokrasi turut dirakamkan panduan secara realiti.

Antara lain yang disebut oleh Tuan Guru di dalam buku itu: “Demokrasi menjadi fahaman yang dijaja di seluruh dunia meskipun ia sudah lama dilahirkan dan mengalami banyak perubahan serta isu kemanusiaan sama ada baik atau buruk. Semua penganut ideologi sama ada di Timur atau Barat mengaku menjadi pendukung demokrasi kerana mereka tidak menemui ideologi yang lain.
Oleh itu, Islam yang datang lebih awal daripada demokrasi mempunyai pertimbangannya sendiri bagi menyelamatkan manusia daripada kancah perubahan sepanjang sejarah. Islam tidak menolak apa jua perkara yang baik walau di mana ia dilahirkan dan bila ia ditemui.
Pada masa yang sama, Islam menentang kemungkaran di mana sahaja ia berlaku, walaupun ia perkara yang wujud dalam diri orang Islam akibat kelalaian mereka sendiri. Malangnya, peranan Islam disembunyikan dalam lipatan sejarah akibat daripada perbuatan orang terdahulu yang tidak ikhlas kerana fanatik agama, atau orang yang mengejar kemajuan dunia kerana nafsu
”.

Bagi mendapatkan karya tersebut, pembeli boleh melayari bukutghh.onpay.my/order/form/islamdemokrasi.

Tuan Guru Abdul Hadi antara pemimpin gerakan Islam yang aktif meluah pemikiran jalur Islam dalam banyak siri buku yang diterbit sebelum ini.

Malah beliau pernah menerima anugerah daripada Universiti Islam Patani di atas kegigihan tersebut. – HARAKAHDAILY 13/2/2021

- Advertisement -