Murtad dihukum bunuh selepas enggan taubat

- Advertisement -

SEORANG Muslim boleh jadi murtad (keluar dari Islam) dengan sebab salah satu daripada tiga (3) perkara; dengan sebab perbuatan, percakapan dan kepercayaan dalam hati.

Seorang itu boleh dianggap murtad apabila ia melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam seperti menyembah berhala, matahari, bulan, patung-patung berhala dan seumpamanya.

Begitu juga dengan menghina Islam seperti membuang kitab suci al-Quran dan kitab Hadis yang sahih ke tempat yang hina seperti longkang, tandas dan seumpamanya.

Selain daripada itu, dengan melakukan perkara-perkara yang diharamkan seperti berzina, minum arak dan seumpamanya dengan disertai kepercayaan bahawa perbuatan-perbuatan itu tidak haram adalah boleh dianggap sebagai terkeluar daripada Islam.

- Advertisement -

Oleh itu, sesiapa yang mempercayai sesuatu itu halal sedangkan perkara itu telah diketahui haramnya boleh menjadikan dia kafir dan murtad.

Bagaimanapun orang yang tidak menunaikan kewajipan syarak seperti solat, puasa Ramadan, membayar zakat dan sebagainya tidak boleh dianggap murtad tetapi mereka adalah melalukan maksiat terhadap Allah SWT.

Tetapi jika mereka meninggalkan perintah-perintah Allah SWT dengan mengiktikadkan bahawa perkara-perkara tersebut tidak wajib maka kepercayaan yang salah itu boleh membawa kepada murtad dan kufur.

Murtad kerana percakapan

Percakapan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad jika dia mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan kepada kekufuran seperti dia berkata Allah SWT itu tidak wujud.

Allah bukan esa atau dia mengaku dirinya nabi atau dia berkata alam ini wujud dengan sendiri. Begitu juga, jika seseorang itu mengatakan syariat Islam tidak perlu dilaksanakan atau dia berkata bahawa syariat Islam sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini.

Iktikad

Jika seseorang itu menolak Rukun Iman seperti tidak percaya kepada Allah SWT, tidak percaya Nabi Muhammad s.a.w sebagai Nabi dan Rasul, tidak percaya dengan malaikat tidak percaya Al-Quran sebagai kitab Allah, tidak percaya hari akhirat dan lain-lain Rukun Iman maka dia boleh dianggap sebagai murtad dan terkeluar daripada Islam.

Bagaimanapun, kepercayaan yang terdetik di hati semata-mata tidak boleh menghukum seorang itu murtad jika tidak dizahirkan dengan perkataan atau perbuatan.

Ini berdasarkan kepada sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan umat-Ku daripada perkara tersemat dalam hati sanubari selagi tidak disertakan dengan perbuatan atau percakapan (An-Nasai). Oleh itu seorang Islam yang mempunyai kepercayaan yang bertentangan dengan akidah Islam tidak boleh dianggap telah terkeluar daripada Islam melainkan jika kepercayaan yang ada sanubarinya itu dilahirkan dengan perkataan atau perbuatan.”

Tanda zahir kekufuran

1) Mencaci atau memburuk-burukkan Nabi Muhammad s.a.w
2) Mengingkari larangan yang ditetapkan dengan dalil-dalil al-Quran seperti haramnya babi, arak, riba, berzina dan lain-lain.
3) Mengingkari kewajipan-kewajipan yang ditetapkan oleh Islam seperti solat, puasa Ramadan, zakat dan sebagainya.
4) Mengingkari kepercayaan yang disabitkan dengan al-Quran seperti Al-Quran adalah wahyu Allah SWT dan ciptaan-Nya.

Hukuman pesalah riddah

Hukuman bagi orang yang disabitkan dengan kesalahan Riddah dibahagi kepada tiga (3) bahagian:

1) Hukuman asal
2) Hukuman gantung dan
3) Hukuman sampingan

Hukuman asal bagi orang yang murtad ialah dihukum bunuh. Berdasar kepada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Barang siapa yang menukar agama (daripada Islam kepada agama lain) hendaklah kamu bunuh dia”. (Sunan Abu Daud)

Mengikut pandangan jumhur ulamak bahawa hukuman bunuh dikenakan kepada semua pesalah Riddah sama ada lelaki itu perempuan tua atau muda.

Manakala Imam Abu Hanifah berpandangan bahawa hukuman bunuh atau hanya dikenakan kepada pesalah lelaki sahaja, manakala pesalah riddah daripada wanita dipaksa terus kekal dalam Islam dengan penjara dan diberi penjelasan tentang Islam supaya dia bertaubat atau sehingga mati.

Berdasarkan kepada hujah bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak membunuh perempuan-perempuan kafir yang turut serta dalam peperangan.

Jumhur ulamak berhujah dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tidak halal membunuh seorang itu melainkan dengan salah satu tiga sebab; janda atau duda yang berzina, membunuh dan orang yang meninggalkan agamanya serta berpisah dengan jemaahnya”. (Sahih Muslim)

Hadis ini tidak membezakan hukuman bunuh sama ada kepada pesalah lelaki atau perempuan tua atau muda.

Bertaubat sebelum dihukum bunuh

Mengikut kaedahnya bahawa orang yang murtad itu tidak boleh terus dihukum bunuh tetapi hendaklah diminta bertaubat terlebih dahulu.

Tujuannya untuk mengetahui sebab-sebab dia murtad sama ada kerana salah faham tentang Islam atau kerana kedegilannya. Maka dalam kedua-dua keadaaan ini wajarlah supaya dia bertaubat.

Menurut ulamak Mazhab Maliki, bahawa jangka masa bertaubat ialah selama tiga hari tiga malam.

Menurut ulamak Mazhab Hanafi bahawa pesalah murtad diminta bertaubat ganti kepada budi bicara hakim. Jika ada harapan pesalah itu akan bertaubat maka boleh diberi masa dalam tiga hari tiga malam dan jika tidak ada harapan untuk bertaubat boleh terus dijalankan hukuman bunuh tanpa ditangguhkan.

Manakala Mazhab Imam Syafie mempunyai dua pendapat; pertama pesalah itu diberi peluang selama tiga hari tiga malam. Tetapi jika pesalah itu tidak mahu bertaubat maka dia boleh terus dikenakan hukuman bunuh.

Pendapat kedua daripada Sheikh Ibrahim Alnakhai tidak mengehadkan masa untuk bertaubat tetapi bergantung kepada adanya harapan untuk bertaubat.

Jika tidak ada harapan maka hukuman bunuh boleh dijalankan terus tanpa ditangguhkan.

Harta milik pesalah riddah

Menurut kebanyakan ulama apabila seseorang murtad itu dihukum bunuh, maka harta kepunyaannya tidak boleh dipusakakan sama ada oleh warisnya yang Islam atau bukan Islam tetapi harta menjadi harta Al-fai’ dan diserahkan kepada Baitul Mal.

Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa harta orang yang murtad yang dihukum bunuh itu boleh difaraidkan kepada waris-warisnya yang Islam.

Perbezaan pendapat itu kerana perbezaan tafsiran Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Seseorang kafir tidak mewarisi kepada orang Islam dan seorang Islam tidak mewarisi kepada orang bukan Islam.”

Oleh yang demikian, menurut jumhur ulamak harta seorang murtad tidak boleh dipusakakan oleh waris-warisnya yang Islam kerana murtad adalah orang yang keluar daripada Islam. – HARAKAHDAILY 8/2/2021

Penulis merupakan Pengerusi Assabiqun PAS Pusat.

- Advertisement -