Kerjasama, persefahaman Umno-PAS jitu, kuat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyanggah dakwaan mengatakan kerjasama antara PAS, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai rapuh.

Beliau berkata, kerjasama antara PAS dan Umno mempunyai satu persefahaman yang terbentuk begitu jitu dan kuat.

“Tidak dinafikan ada sedikit komplikasi antara Umno dan BERSATU, namun Umno sendiri masih mencari pelbagai pendapat dan pandangan demi menyelesaikan sedikit jurang yang ada,” katanya.

Bagaimanapun beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, perbezaan pendapat itu pasti ada dalam setiap kerjasama.

- Advertisement -

Namun, beliau yakin bahawa Umno sendiri dapat mengurus dan menyelesaikan perbezaan pendapat yang ada.

“Pun begitu, yang pentingnya Umno perlu mendapatkan satu formula dan strategi bagi memenangi dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

“Jadi saya berkeyakinan Umno akan selesaikan masalah ini, jadi tidak timbullah kenyataan Tun Dr Mahathir kata kerjasama itu rapuh, yang rapuh tu sekarang sebab dia belum diikat,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan hamper, limau dan angpau Chinese New Year (CNY) di Taman Puspa Kok Lanas, hari ini. (Foto atas)

Oleh itu jelas beliau, jika semua perkara dapat dibincang dan dirunding secara bersama maka situasi yang mengatakan rapuh itu tidak mustahil dapat membentuk gabungan yang lebih kuat.

“Ini juga merupakan satu cabaran buat pimpinan ketiga-tiga parti, saya tetap mengimpikan politik negara yang perlu distabilkan dan kestabilan politik negara boleh dicapai dengan memastikan kelompok induk yakni orang Melayu jangan berpecah-belah.

“Dan apabila parti orang Melayu dapat bermuafakat dan bekerjasama dengan kestabilan itu pimpinan dan orang Melayu dapat memberi naugan dan kestabilan dengan mewujudkan muafakat yang lebih besar dengan kelompok parti minoriti daripada dalam kalangan bukan Melayu dengan semangat negara yang berbilang kaum.

“Sesiapa sahaja boleh buat ramalan dan kita pun tidak menafikan untuk membentuk satu pakatan baru dan juga kerjasama termasuk antara Umno, PAS dan BERSATU kita tidak menafikan ada perkara-perkara kita perlu berunding dan perkemaskan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau turut menyeru agar kesemua gabungan yang ada dapat mengukuhkan hubungan antara satu sama lain untuk membentuk kerajaan yang lebih kuat dan stabil.

Terdahulu bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menyatakan  Bersatu, PAS, dan Umno hanya bersama demi kepentingan politik masing-masing dan mendakwa jalinan kerjasama itu rapuh dan akan terurai pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir yang juga pengerusi parti Pejuang berkata kerjasama PAS dan Umno menerusi Muafakat Nasional, juga tidak akan bertahan. – HARAKAHDAILY 6/2/2021

- Advertisement -