PAS membumi bahagiakan rakyat

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-70 pada tahun ini, ditubuhkan sebagai menyahut seruan Allah S.W.T yang bermaksud:

- Advertisement -

”Hendaklah ada di kalangan kamu suatu puak (jamaah) yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Dan merekalah orang yang berjaya.”

(ali-Imran: 104)

Menurut Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad; Dakwah, Tarbiah dan Siasah adalah tiga serangkai yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Inilah keunikan PAS sejak ia mula ditubuhkan. PAS bergerak di atas tiga paksi ini, sehingga mampu menongkah arus dan badai perjuangan walau dalam situasi apa sekalipun.

Menelusuri gerbang tahun baru 2021, mungkin banyak perkara yang telah kita rancang seakan tidak menjadi tetapi perkara tidak dirancang pula terjadi. Ketika seluruh negara sedang bergelut melawan COVID-19, negeri Pahang dikejutkan dengan kehadiran banjir besar dalam tempoh yang agak panjang di sembilan daerah dalam Pahang kecuali beberapa daerah termasuk Bentong.

PAS Bentong telah mengambil tindakan pantas dengan mewujudkan pusat pengumpulan barang-barang keperluan mangsa banjir di bawah seliaan NGO Khidmat Malaysia bertempat di pejabat NGO Cakne Rakyat Bentong dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Bentong telah dipertanggungjawabkan mengumpul serta melakukan kerja-kerja pembungkusan barang-barang hasil sumbangan orang ramai untuk disampaikan kepada mangsa banjir.

Seluruh ahli jawatankuasanya telah dikerah termasuk Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat untuk membantu daerah-daerah kejiranan seperti Raub, Mentakab dan Temerloh yang hampir lumpuh dilanda banjir besar.

“Terlintas saya kata-kata Tuan Guru Haji Abdul Hadi; kita kerja berpasukan ibarat main bola sepak, kalau seorang saja bawa bola tak jadi. Ya, mesti ada tukang bawa bola, tukang hantar, tukang tahan, tukang masukkan bola hatta tukang bawa air kepada pemain yang penat bermain. Masing-masing memain peranan di setiap posisi, barulah menjadi,” ujar Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah.

Mengikut perancangan, Mesyuarat Agong Tahunan bagi setiap peringkat bermula dari cawangan membawa ke kawasan bakal berlangsung sepanjang bulan Januari hingga Februari ini tetapi dek kerana musibah banjir, PAS Bentong terpaksa menunda semua mesyuarat ditambah pula dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara termasuk negeri Pahang bermula pada 22 Januari lalu. 

Pada masa sama, program ‘Back To School’ (BTS) yang turut dirancang berlangsung pada bulan Januari berjaya diteruskan seminggu lebih awal tatkala Pahang masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Memandangkan tahun ini kita masih lagi belum menang melawan COVID-19, segala program yang telah diatur perlu dirombak mengikut kesesuaian keadaan dan sedikit pengubahsuaian yang mana kawasan menyalur sumbangan terus ke dalam talian DUN dan cawangan yang berminat menganjurkannya.

“PAS Bentong berusaha memberi telinga dan bahu bagi membantu ibu bapa khususnya golongan yang terkesan dengan ujian COVID-19 termasuk yang diberhentikan kerja dan tiada mata pencarian, jadi sumbangan ini sedikit sebanyak mampu memberi sedikit keringanan sesak dada mereka,” jelas Khairuddin ketika diminta mengulas mengenai program BTS ini

Program yang dikendalikan oleh Lajnah Kebajikan Kawasan ini telah berlangsung secara berperingkat-peringkat di setiap DUN dan cawangan dan majlis serahan sumbangan dilaksanakan dari rumah ke rumah atau penerima sumbangan datang secara individu dan berasingan ke rumah KPC cawangan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan 

PAS DUN Ketari antara DUN terawal melaksanakan program ini. Melalui penglibatan NGO Cakne Rakyat, Abrar Care dan GENERASI pergerakkan serahan pertama sumbangan dimulai pada 14 Januari bertempat di Perkampungan Orang Asli Sungai Merjok.

Ini diikuti serahan barangan rumah ke rumah ke Unit Daerah Mengundi (UDM) Benus dan Ketari pada 16 Januari dan penutup serahan di UDM FELDA Mempaga 1, 2 dan 3 yang berlangsung selama 3 hari bermula 18 Januari dan berakhir 21 Januari membabitkan jumlah penerima terdiri daripada anak orang asli, anak yatim dan warga FELDA seramai 150 orang.

Menurut Pengarah Program BTS DUN Ketari, Yusma Yusoff jadual asal program ini dibuat secara beramai-ramai tapi telah ditukar kepada serahan dari rumah ke rumah mengikut SOP yang ketat.

“Kita semua maklum sesi persekolahan telah ditunda namun kita merasakan program yang baik ini harus diteruskan dengan kaedah SOP yang ketat bagi menunjukkan keberadaan dan istiqamahnya PAS Bentong membantu rakyat walau dalam keadaan apa sekalipun. 

“Tahniah Yang Dipertua PAS Bentong dan juga Timbalannya, Ustaz Roslan Mad Esa selaku Pengerusi NGO yang bertungkus lumus dalam usaha mencari infak dan dana bagi menjayakan program yang sangat dinanti-nanti oleh masyarakat di kawasan Bentong ini. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan ganjaran dari Allah S.W.T.

“Bagi Nusaibah Bentong pula, program BTS telah membuka ruang kepada mereka untuk mengagihkan sumbangan kepada 54 penerima termasuk 8 orang pelajar orang asli di DUN-DUN sekitar Bentong iaitu Bilut, Ketari, Sabai dan Pelangai.

“Matlamat kami adalah melangsaikan segala serahan sumbangan awal iaitu sebelum sekolah dibuka dengan harapan semoga ia mampu memberi senyuman kelegaan kepada golongan yang kurang berkemampuan menjelang pembukaan sekolah anak-anak mereka nanti,” ulas Ketua Nusaibah Bentong, Nur Hanani Mohd Khairuddin terharu di atas kejayaan pasukannya menjayakan misi ini.

Seramai 10 Ahli Jawatankuasa Nusaibah Bentong terlibat menyerahkan sumbangan beg sekolah, senaskah al-Quran dan wang tunai berjumlah RM100 selama 10 hari bermula 1 Januari dan berakhir pada 10 Januari 2021 membabitkan kos sebanyak RM8,400.

Pada 17 Januari pula, Jabatan Amal Bentong mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi perintis pertama program derma darah dalam tempoh PKP berlaku dalam daerah Bentong iaitu ‘Program Amal Mega Blood Donation’ bertempat di Hospital Bentong.

Program julung kali diadakan ini telah menarik penyertaan seramai 36 orang penderma darah dan berjaya mengumpul 27 beg darah melebihi sasaran hospital yang hanya mensasarkan 20 beg darah.

“Kami tidak menyangka sambutan masyarakat amat menggalakkan termasuk kehadiran penderma darah mewakili bangsa Cina dan India. Ini menunjukkan masyarakat sedar keberadaan kami dan ia memberi satu impak besar pada Unit Amal khususnya dan PAS Bentong amnya,” ulas Ketua Pemuda PAS Bentong, Mohd. Naqib Sahimi terharu.

Lihatlah takdir yang telah disusun cantik oleh Allah Yang Maha Menyusun. Di balik musibah terselit hikmah. PAS Bentong cuma merancang dua agenda di dalam bulan Januari iaitu mesyuarat agong cawangan-cawangan dan program tahunan ‘Back To School’ yang ditunggu-tunggu oleh rakyat marhaen. 

Allah tarik satu, digantiNya dengan dua bentuk nikmat, iaitu nikmat membantu mangsa banjir dan menderma darah untuk tabung darah negara yang kini sedang berada di tahap kritikal. Bukankah bahagia itu pada memberi dan berkongsi?

“Kita pegang jawatan bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk meraih publisiti jauh sekali mengejar darjat ‘popular’. Komitmen mendukung gerak kerja ‘iqamatuddiin wa siasatuddunya bih’ (menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya) adalah tugas yang mulia di sisi Allah S.W.T tetapi berat penanggungjawabannya,” pesan yang biasa diulang-ulang oleh Cikgu Khairuddin sebagai peringatan pejuang Parti Islam semua

Sudah lebih 30 tahun PAS menetap di Bentong. Orang tua-tua kata, sudah kenal bau kentut Pak Abu, si Ah Chong dan si Raju, siapa si miskin yang pemurah atau si kaya perasuah. Betapa pun semua nikmat dunia itu mampu dibeli oleh si kaya hatta si kafir yang berpengaruh, tetapi ada satu perkara mereka tak boleh dapat jika Allah tak bagi.

Susuri kisah ‘Sohibul Jannatain’ (pemilik dua kebun), di dalam surah al-Kahfi. Dua Sahabat, seorang beriman dan seorang ingkar. Teman yang beriman Allah S.W.T uji dengan kesempitan hidup, rezeki dan harta serta barang-barang yang ia miliki amat sedikit. Namun, Allah S.W.T memberinya nikmat berupa nikmat iman, kepercayaan dan redha dengan takdir Allah.

Sebaliknya, temannya yang ingkar itu Allah S.W.T beri dia dua buah kebun anggur yang luas, kelapangan rezeki, kemudahan duniawi, harta yang banyak, dan berlimpah. Allah sedang mengujinya, apakah dia termasuk golongan orang-orang yang bersyukur atau kufur, rendah hati atau sombong.

Si teman yang kaya berkata, “Hartaku lebih banyak dari hartamu dan pengikutku lebih kuat.” 

Si miskin yang baik menegur lalu mengajar Sahabat yang ingkar agar berkata, “Kenapa engkau tidak menyebut nama Allah saat engkau memasuki kebunmu dan berkata, “Sungguh dengan kehendak Allah semua ini terwujud, tidak ada kekuatan kecuali Allah”.”

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

إن الله يعطي الدنيا من يحب ومن لا يحب ولا يعطي الدين إلا من يحب

“Sesungguhnya Allah memberi dunia kepada siapa yang Dia cinta dan juga pada yang Dia benci. Tapi Dia tidak memberi nikmat agama ini (Islam dan iman), kecuali hanya pada orang yang Dia cintai.”

(Hadis Riwayat al-Hakim)

Kami tidak mampu menawarkan pemberian ‘sebakul telur angsa emas’ atau menawarkan ‘dua buah kebun anggur yang luas’ kepada rakyat. Apa yang kami boleh beri, dalam susah atau senang; tanpa kuasa dan dengan takdir Allah kini berkongsi kuasa sebagai sebahagian ‘kakitangan’ kerajaan, PAS terus istiqamah ‘memberi’ dan berbakti kepada rakyat tanpa lelah dan jemu

“Berangkatlah (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” 

(at-Taubah: 41)

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 6/2/2021

- Advertisement -